Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ismail Sabri 'orang parti', akan runding Umno dulu pasal MOU - Isham

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ialah 'orang parti' yang akan berbincang dengan Umno sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan memorandum persefahaman (MOU) bersama Pakatan Harapan, kata pengerusi BN Selangor Isham Jalil.

“Beliau adalah party man (orang parti). Saya ingat party man biasanya akan consult (berunding) dengan kami (Umno) dulu.

"Saya percaya beliau akan berbuat begitu sebab dia party man,” katanya ketika sidang media bersama Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil di Kuala Lumpur hari ini, bagi mengumumkan debat antara bekas perdana menteri Najib Razak dan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Menjawab soalan berhubung langkah seterusnya selepas Majlis Tertinggi Umno memutuskan untuk tidak melanjutkan MOU tersebut melangkaui tarikh 31 Julai ini, Isham mendakwa partinya tidak pernah merestui pemeterian memorandum itu.

Kata Isham, terdapat pimpinan PH yang meminta supaya partinya tidak perlu masuk campur dalam urusan berhubung MOU itu.

“MOU antara kerajaan dan pembangkang.

“Umno tak pernah setuju tandatangan MOU dengan PH dan MT Umno pun tak pernah setuju tandatangan MOU dengan PH.

“Sebab itu kita tak terikat dengan MOU itu. Sebab itu juga kenyataan (Setiausaha Agung DAP) Anthony Loke, dia kata Umno jangan masuk campur. Saya nak jawab, kita memang tak kira MOU itu,” katanya.

Pada masa sama, dia turut menegaskan bahawa Umno bebas untuk membuat sebarang cadangan kepada perdana menteri, termasuklah membubarkan Parlimen.

“Kita tak terikat kalau kita nak saran pada perdana menteri untuk bubar parlimen kerana MOU antara kerajaan dengan PH, bukan Umno dengan PH,” katanya.

Susulan keputusan itu, pemimpin Umno lain termasuk pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin telah menyuarakan gesaan supaya PRU15 diadakan seawal Ogos tahun ini.

Sementara itu, Fahmi berkata terdapat dua perkara berasingan dalam MOU berkenaan yang telah digabungkan - berhubung tarikh berakhir tempoh MOU itu dan pembubaran parlimen.

"MoU antara kerajaan dan PH berkuat kuasa sehingga parlimen dibubarkan. Jadi selagi mana parlimen tak terbubar, selagi itu MOU ini terpakai.

"Dalam MOU ini dengan amat jelas bahawa kerajaan bersetuju tidak bubar parlimen sebelum 31 Julai 2022," kata ahli parlimen Lembah Pantai itu.

Fahmi berkata perkara lain yang berkaitan termasuk pembubaran parlimen sebelum 31 Julai mesti dibincangkan dan dipersetujui oleh kerajaan dan PH melalui jawatankuasa pemandu yang turut dianggotainya.

Ismail, yang juga naib presiden Umno, semalam dilaporkan berkata dia telah menerima keputusan Majlis Tertinggi parti untuk tidak melanjutkan MOU kerajaan dengan PH melebihi 31 Julai.

Katanya, sebarang perubahan yang dibuat sebelum 31 Julai juga akan dibawa ke Majlis Tertinggi Umno untuk perbincangan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS