Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Hanya Tajuddin lantang, MKT kata mahu jaminan apa lagi'
Diterbitkan:  Apr 16, 2022 9:00 AM
Dikemaskini: 1:00 AM

Hanya Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman yang "meminta jaminan" berhubung keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menamakan Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri bagi menghadapi PRU15.

Menurut sumber Umno, barisan kepimpinan tertinggi Umno yang dipimpin Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi sebulat suara menyokong keputusan memilih Ismail sebagai "poster boy" BN.

"Hanya Tajuddin yang lantang mempersoal dan meminta jaminan bahawa Ismail akan menjadi perdana menteri seperti mana dicalonkan MKT Umno.

"Agak sedikit tegang tapi terkawal, barisan kepimpinan tertinggi kata mahu jaminan apa lagi kerana ia keputusan yang dibuat oleh MKT Umno secara sebulat suara.

"Jaminan apa lagi yang boleh diberikan kerana kita pun tidak tahu sama ada kita boleh menang PRU15 dengan majoriti mudah atau sebaliknya," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, media melaporkan Tajuddin berkata tiada jaminan untuk Ismail sebagai perdana menteri, meskipun MKT Umno mencalonkannya sebagai calon perdana menteri bagi PRU15.

Tajuddin berkata keputusan itu menyaksikan kepimpinan parti secara sebulat suara telah memilih "poster boy" untuk kempen pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun, katanya situasi yang berlaku semasa pilihan raya Johor bulan lalu dengan Hasni Mohamad dinamakan sebagai calon menteri besar BN tetapi akhirnya individu lain yang dilantik.

“Tetapi kita doakanlah yang terbaik. Kita tidak mahu bersangka buruk, kalau itu keputusan dan tujuannya baik akan memberi ruang dan peluang kepada Ismail Sabri untuk terus menjadi perdana menteri selepas PRU15," kata Tajuddin.

Mengulas lanjut sumber berkata, selaras dengan pengumuman Ismail sebagai calon perdana menteri, Umno juga mahukan mandat rakyat segera dikembalikan.

"Selepas menamakan Ismail sebagai calon perdana menteri, Umno mahu supaya mandat rakyat segera dikembalikan bagi memilih kerajaan baru.

"Umno mahu pilihan raya umum segera diadakan kerana negara memerlukan sebuah kerajaan yang benar-benar stabil," kata sumber lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS