Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes Sam didengar di Mahkamah Rayuan Isnin depan
Diterbitkan:  Apr 15, 2022 10:20 PM
Dikemaskini: 2:22 PM

Kes melibatkan Sam Ke Ting, yang dijatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 kerana memandu secara melulu akan didengar di Mahkamah Rayuan pada Isnin depan, menurut sistem dalam talian mahkamah.

Pendengaran berkenaan kemungkinan besar melibatkan permohonan kerani wanita itu untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan.

Bagaimanapun, peguamnya Muhammad Faizal Mokhtar enggan menjawab mesej dan panggilan telefon untuk mengesahkan sama ada pendengaran Isnin ini ditetapkan bagi permohonan Sam untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.

Pada 13 April lalu, Mahkamah Tinggi Johor Bahru mengenepikan keputusan Mahkamah Majistret yang melepas dan membebaskan Sam daripada pertuduhan memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian lapan remaja.

Hakim Abu Bakar Katar berkata pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Sehubungan dengan itu Sam dijatuhkan hukuman penjara enam tahun dan juga didenda RM6,000. Sam juga berdepan tambahan penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Hakim juga menolak permohonan pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan dan memerintahkan mereka mendapatkan kebenaran merayu daripada Mahkamah Rayuan terlebih dahulu.

Sam juga hilang kelayakan memandu selama tiga tahun, berkuat kuasa serta-merta selepas menjalani hukuman penjara.

Pada 18 Feb 2017, lapan remaja berbasikal maut, dua lagi parah dan enam lagi cedera ringan apabila kereta yang dipandu Sam merempuh mereka dalam kejadian yang berlaku pada 3 pagi.

Mereka yang terkorban dalam kejadian itu ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 12; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Memandangkan kes memandu secara melulu pada awalnya dibicarakan di Mahkamah Majistret dan bukannya Mahkamah Sesyen, Sam perlu mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Rayuan terlebih dahulu sebelum boleh meneruskan rayuan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS