Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengendali pejabat berperkhidmatan terbesar Labuan terima Bitcoin
Diterbitkan:  Apr 15, 2022 4:15 PM
Dikemaskini: 8:15 AM

Pengendali pejabat berperkhidmatan terbesar Labuan, Universal Serviced Offices and Management Ltd (USO) memutuskan untuk menerima mata wang kripto sebagai salah satu kaedah pembayaran sekali gus menjadikannya sebagai syarikat pejabat berperkhidmatan berpangkalan di Malaysia yang pertama berbuat demikian. 

Ketua Pegawai Eksekutif USO Hesham Mansour berkata keputusan untuk menerima guna transaksi mata wang kripto telah menjadi perancangan syarikat itu selepas melakukan penyelidikan pasaran tahun lepas. 

“Ia suatu yang mengujakan untuk mengumumkan bahawa pada 6 April, 2022, USO mula menerima mata wang kripto, dan pengenalan ini merupakan sebahagian daripada pendekatan agresif kami untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan kami yang dihargai,” katanya kepada Bernama, hari ini. 

Hesham berkata kebanyakan pelanggannya adalah dalam sektor antarabangsa dan kewangan dari Jepun, Singapura dan India, dan USO akan membolehkan mereka dan pelanggan mereka dari Malaysia menggunakan Bitcoin dan Ethereum sebagai pilihan pembayaran bil.

Beliau berpandangan mata wang kripto secara kolektifnya adalah "mata wang yang lebih demokratik" dengan bekalan terhad dan nilainya berasaskan kepada permintaan, "sedangkan mata wang fiat seperti dolar AS terbuka kepada manipulasi oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan Rizab Persekutuan AS yang mengurangkan kredibiliti mata wang, dan kebelakangan ini meningkatkan tekanan inflasi". 

Sementara itu pengurus besar Neurogine Capital (L) Ltd Lim Jew Kee berkata USO telah mengambil langkah awal untuk menerima guna pembayaran mata wang maya dan ini merupakan satu pencapaian bersejarah di Labuan. 

“Mereka berwawasan dan memiliki kelebihan sebagai perintis dalam industri, Kami mengucapkan tahniah kepada USO kerana menambah nilai yang luar biasa kepada pelanggan globalnya dengan menggunakan Neurogine nTrade,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Neurogine Capital adalah broker wang berlesen di Labuan dan mengendalikan Neurogine nTrade®, perkhidmatan pembrokeran wang digital.

“Ia (menyediakan pilihan pembayaran kripto) akan membolehkan USO bergerak seiring dengan pelan pengembangan perniagaan serantaunya dan mencerminkan kedudukannya sebagai penyedia ruang pejabat berperkhidmatan terbesar di Labuan,” katanya sambil menambah USO adalah pelanggan korporat terbaharunya. 

Lim berkata terdapat lebih daripada 16,000 syarikat berdaftar dan 800 entiti berlesen dalam perkhidmatan kewangan digital, pembrokeran wang, token kredit, ruang sistem pembayaran yang beroperasi di luar rantau ini, selain perbankan konvensional, perkhidmatan insurans dan kewangan di Labuan.  

“Kami yakin USO boleh melibatkan diri dalam profil yang pelbagai dan berhubung dengan perniagaan yang terlibat dalam ekonomi di Asia dan melangkaui darinya,” katanya.

Beliau yakin keputusan USO untuk menerima pembayaran sewa dalam aset digital terutamanya dengan Ethereum dan Bitcoin, akan menarik minat syarikat asing yang menimbang untuk membuka operasi di Laburan.

“Bayaran sewa boleh dibayar kepada USO dan ditukar kepada mata wang fiat serta merta di Neurogine nTrade® dengan penjimatan dan kemudahan. 

"Amalan konvensional melakukan pembayaran menerusi bank tradisional yang mengambil masa kira-kira tiga hingga lima hari bekerja untuk diselesaikan adalah lebih mahal dan terdapat juga levi bank dan fi yang perlu ditanggung,” katanya. 

USO juga boleh mengembangkan saluran perniagaannya dengan keupayaan baharunya untuk beroperasi dan menerima pelbagai jenis dana termasuk aset digital, kata Lim. 

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS