Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Elon Musk tawar AS$43 bilion untuk beli Twitter 
Diterbitkan:  Apr 15, 2022 3:30 PM
Dikemaskini: 7:30 AM

Makluman kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) AS pada Khamis menunjukkan Elon Musk membuat tawaran untuk membeli Twitter.

Jutawan itu berkata beliau sanggup membayar US$54.20 setiap saham untuk membeli 100 peratus syarikat itu. Tawaran tunai keseluruhan menjadikan nilai syarikat rangkaian sosial itu mencecah US$43.4 bilion, kata Xinhua.

"Saya melabur dalam Twitter kerana percaya potensinya untuk menjadi platform untuk bebas bersuara di seluruh dunia," tulis Musk dalam e-mel kepada Bret Taylor, Pengerusi Lembaga Pengarah Twitter. 

E-mel itu diterbitkan semula dalam pemfailan SEC, sambil menambah bahawa "Twitter perlu ditransformasi sebagai syarikat persendirian."

"Tawaran saya adalah tawaran terbaik dan terakhir, dan jika ia tidak diterima, saya perlu pertimbangkan semula kedudukan saya sebagai pemegang saham," kata Musk. Tawaran itu adalah premium 54 peratus sehari sebelum beliau mula melabur dalam Twitter dan premium 38 peratus sehari sebelum pelaburannya diumumkan secara terbuka.

Twitter mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan penerimaan tawaran Musk dan berkata lembaganya akan "meneliti cadangan itu untuk tindakan".

Pada 4 April, Twitter mengesahkan bahawa Musk memperoleh 9.2 peratus saham syarikat itu untuk menjadi pemegang saham terbesar. Namun Musk kemudiannya enggan menyertai barisan lembaga pengarah.

Sebagai ahli lembaga pengarah, Musk tidak dibenarkan memiliki lebih daripada 14.9 peratus saham syarikat.

Musk kini merupakan orang terkaya di dunia. Menurut Forbes, nilai kekayaannya kini adalah US$273.6 bilion.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS