Paling Popular
Terkini

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberi keterangan bahawa lebih RM109 juta dana Yayasan Akalbudi telah digunakan untuk kerja-kerja Islam, kebajikan seperti membantu orang miskin serta melakukan amal jariah.

Bekas timbalan perdana menteri itu memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa tidak semua sumbangan direkodkan kerana dia berpegang pada prinsip Islam "tangan kiri tidak tahu apa yang tangan kanan lakukan".

Menurutnya sebuah hadis menyebut Nabi Muhammad SAW bersabda antara lain, “Seorang lelaki yang bersedekah dan tidak mendedahkannya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya.

Zahid berkata demikian semasa membela diri di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah dan menyangkal dakwaan pihak pendakwaan bahawa tiada satu sen pun daripada yayasan itu digunakan untuk kerja-kerja amal.

"Di hari Jumaat ini, saya tidak mahu menyanggah sebarang pernyataan mana-mana pihak sebagaimana prinsip saya pegang, iaitu kalau tangan kanan memberi, tangan kiri tidak perlu ketahui.

"Apabila senarai D5 dan D6 (bahan bukti senarai sumbangan Yayasan Akalbudi) dikemukakan pada Yang Arif, saya beri pengakuan bahawa penyataan tiada satu sen diberi untuk menolong orang miskin adalah tidak benar.

"Saya mahu keadilan diberikan kepada saya kerana sumbangan ini saya masukkan dengan tujuan hati yang baik. Adakah ini sesuatu yang harus dimalukan, diaibkan, dizalimi kepada saya.

“Ini mungkin disebabkan kelemahan teknikal setiausaha syarikat, tetapi dari segi niat, saya lakukan kerana Allah semata-mata," katanya ketika menjawab soalan peguamnya, Ahmad Zaidi Zainal pada sesi pemeriksaan utama.

Presiden Umno itu berdepan 47 pertuduhan, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS