Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tiada jaminan Ismail kekal PM walau dinamakan sebagai calon'
Diterbitkan:  Apr 15, 2022 12:22 PM
Dikemaskini: 4:22 AM

Tiada jaminan untuk Ismail Sabri Yaakob kekal sebagai perdana menteri, meskipun Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno mencalonkannya sebagai calon perdana menteri bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Ahli MKT Umno Tajuddin Abdul Rahman, berkata kepimpinan parti secara sebulat suara telah memilih "poster boy" untuk kempen pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun, katanya situasi yang berlaku semasa pilihan raya Johor bulan lalu dengan Hasni Mohamad dinamakan sebagai calon menteri besar BN tetapi akhirnya individu lain yang dilantik.

“Tetapi kita doakanlah yang terbaik. Kita tidak mahu bersangka buruk, kalau itu keputusan dan tujuannya baik akan memberi ruang dan peluang kepada Ismail Sabri untuk terus menjadi Perdana Menteri selepas PRU15.

“Dalam politik ini, ramai orang bercita-cita tinggi, semua berharap macam saya. Saya pun bercita-cita juga, tapi taklah nak jadi perdana menteri,” katanya selepas mesyuarat MKT dan Majlis Berbuka Puasa bersama pemimpin Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, malam tadi.

"Saya ada mempersoalkan dalam mesyuarat MKT, bahawa ia tiada jaminan. Saya menyokong kuat Ismail Sabri sejak dari mula,” katanya lagi.

Dalam pada itu, wartawan veteran Abdul Kadir Jasin dalam hantaran di Facebooknya berkata adalah terlalu awal untuk membuat spekulasi Ismail akan mendapat jawatan itu.

"Jangan terlalu percaya, kerana kita mungkin melihat situasi Johor berulang," tulisnya.

Pada Ogos tahun lalu, Ismail Sabri mencipta sejarah menjadi perdana menteri pertama daripada Umno ketika memegang jawatan naib presiden parti.

Tidak tertulis dalam Umno bahawa presiden dan timbalan presiden akan menjadi pilihan pertama dan kedua untuk menjadi perdana menteri.

Terdapat duluan di Perlis (2018), Terengganu (2008) dan Selangor (2014) yang mana calon parti atau gabungan bagi jawatan menteri besar tidak diterima oleh istana, sebaliknya melantik individu lain untuk jawatan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS