Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook menolak hasrat bekas anggota dewan undangan negeri (Adun) Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee untuk bertanding di kerusi parlimen sama ada di bawah Umno ataupun DAP.
Katanya, DAP mempunyai ramai calon yang lebih baik dan Norhizam boleh "melupakan" hasratnya itu.
"Norhizam menyebut bahawa dia bersedia untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang sama ada di bawah tiket Umno atau DAP."
"Kami memberitahunya supaya lupakanlah."
"DAP tidak akan sekali-kali menerima katak sebegitu. Dan kita akan jadikan ia sebagai dasar rasmi parti, kita tidak akan pernah terima mana-mana individu yang melompat parti, sama ada dari parti kita atau parti lain," katanya dalam sidang media di ibu pejabat DAP, Kuala Lumpur, pagi ini.
Loke ditanya tentang pendirian DAP mengenai ahli politik yang menukar parti mereka.
Ahli Parlimen Seremban itu menegaskan parti itu mempunyai ramai pemimpin yang berkebolehan dan tidak perlu mengharapkan pengkhianat parti sebagai calon.
“Begitu juga dengan mana-mana orang yang mahu masuk DAP daripada parti lain, sama ada bergelar atau berjawatan seperti ahli parlimen atau Adun," katanya.
Terdahalu Norhizam pada Ahad lalu yang menyatakan hasratnya untuk bertanding di kerusi Parlimen pada PRU15.
Katanya, dia bersedia menjadi ahli DAP atau Umno sekali lagi dan mendakwa “dipinang” oleh beberapa parti.