Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Annuar jamin tablet PerantiSiswa bukan 'cap ayam'

Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa hari ini mengumumkan spesifikasi minimum tablet percuma yang akan diberi kepada mahasiswa yang memerlukan, di bawah program PerantiSiswa dengan peruntukan RM450 juta.

Berikutan kebimbangan yang dibangkitkan berkenaan mutunya, Annuar memberi jaminan bahawa peranti tersebut berharga “empat angka” dan bukan “cap ayam”.

“Ada kebimbangan yang kita nak beri peranti ‘cap ayam’. Saya tak tahu kerana tidak terlibat dalam proses tender.

“Apa yang saya tahu adalah perkara ini di bawah Kementerian Kewangan pada masa ini dan mereka akan putuskan, tetapi saya sudah beri garis panduan asas kepada ketua setiausaha yang saya tak mahu peranti murah atau ‘cap ayam’,” katanya dalam ucapan semasa prapelancaran program PerantiSiswa di Universiti Multimedia di Cyberjaya, hari ini.

Annuar berkata tablet yang diberikan perlulah daripada jenama yang baik dan sudah ada di pasaran, dengan fungsi dan kapasiti yang sesuai.

Kementerian Kewangan dijangka melengkapkan proses perolehan dan memberikan kontrak kepada vendor terpilih minggu depan, katanya lagi.

Ditanya berkenaan spesifikasi peranti tersebut, dia berkata ia terpulang kepada vendor yang mendapat tender itu namun kerajaan akan menetapkan syarat minimum.

Spesifikasi minimum yang ditetapkan kerajaan adalah seperti berikut:

  • Skrin 10.1”, resolusi FHD, 1280x800

  • Android OS 10 dan ke atas

  • 4G LTE (mampu menyokong frekuensi LTE syarikat telekomunikasi di Malaysia)

  • Minimum 4GB RAM

  • Storan minimum 64GB

  • Slot mikrocip SD sehingga 256GB

  • Kamera depan minimum 2MP

  • Kamera belakang minimum 5MP

  • Pembesar suara terbina dalam dan bicu audi 3.5mm untuk headset

  • Bluetooth 4.1 dan ke atas

  • Wifi 2.4GHz dan 5GHz

  • Bateri minimum 4500 mAh

  • Termasuk kabel pengecas USB

  • Termasuk papan kekunci Bluetooth 

  • Termasuk pen stylus

    ‘Program akan ditambah baik’

 Kerajaan sebelum ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM450 juta untuk program PerantiSiswa dalam Belanjawan 2022.

Annuar berkata kos untuk tablet tidak akan melebihi peruntukan yang telah ditetapkan.

Untuk tahun ini, katanya, sebanyak 350,000 tablet akan diagihkan bermula Jun ini.

Walaupun kerajaan pada mulanya menganggarkan pengagihan 600,000 unit, Annuar berkata jumlahnya mungkin lebih sedikit memandangkan kerajaan mahu mendapatkan tablet bermutu tinggi.

Dia juga menegaskan mahasiswa yang tidak memiliki laptop atau tablet boleh memohon program itu dan ia tidak terhad untuk kalangan B40 sahaja.

Program ini juga akan diteruskan dan akan ditambah baik pada masa akan datang, katanya lagi.

Contohnya, kata Anwar, kerajaan pada masa ini sedang meneliti peranti untuk pelajar daripada fakulti yang memerlukan peranti digital dengan kuasa pemprosesan yang lebih tinggi seperti jurusan kejuruteraan dan multimedia kreatif.

Dia juga memaklumkan program itu termasuk tempoh jaminan dan perkhidmatan selepas pembelian.

Menurut penerangan yang diberikan dalam acara prapelancaran, mahasiswa perlu memulangkan tablet itu selepas tamat pengajian atau mengikut tempoh masa yang ditetapkan pengurus program itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS