Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Puad sedia beli lukisan 'parlimen beruk’ untuk muzium
Diterbitkan:  Apr 14, 2022 12:24 PM
Dikemaskini: 4:24 AM

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Mohd Puad Zarkashi tampil menyatakan kesediaan untuk membeli lukisan satira "Parlimen beruk dan katak" jika ia dilelong Sultan Selangor.

Puad berkata, dia akan membeli dan akan menghadiahkannya kepada Muzium Negara untuk tatapan orang ramai.

“Saya sedia membeli ‘lukisan Parlimen beruk dan katak’ jika Sultan Selangor satu hari nanti, mahu melelongnya.

“Jika lukisan itu milik saya, ia tidak akan dijual lagi. Saya akan hadiahkan kepada Muzium Negara untuk dipamerkan kepada orang awam,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Kelmarin, media melaporkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membeli karya lukisan yang memaparkan Dewan Rakyat yang dipenuhi haiwan seperti katak dan monyet.

Karya itu hanya menampilkan tiga wajah manusia seakan-akan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan dua orang kakitangan Parlimen.

Semalam Malaysiakini melaporkan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub menyifatkan penghasilan karya seni berbentuk satira perlu juga melihat kepada kesan langsung dan tidak langsung pada masa depan.

Jelasnya, dia tidak menafikah hak seseorang untuk menyatakan pandangan dan berkarya, namun menegaskan sesebuah karya seni wajar mengambil kira aspek berkenaan kerana ia mungkin membawa kepada isu yang lebih besar.

“Tak ada salahnya untuk berekspresi dan menyampaikan mesej kepada ahli-ahli parlimen tetapi kita juga perlu melihat kepada kesan jangka panjang.

“Bagaimana nanti kalau ada pengkarya yang bertindak lebih daripada itu? Misalnya mereka menyindir raja-raja Melayu atas nama kebebasan berpendapat dan kerana kerja seni?” kata Salahuddin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS