Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saman 1MDB terhadap saya salah guna proses mahkamah - Najib

Bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa pesalah sebenar di sebalik kerugian besar yang dialami 1MDB telah digugurkan daripada tindakan sivil.

Najib berkata dia masih dikekalkan sebagai salah seorang defendan dalam saman berjumlah AS$8 bilion berkenaan, justeru tindakan itu merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Bekas menteri kewangan itu membangkitkan perkara tersebut dalam pernyataan pembelaan empat muka surat terhadap saman sivil 1MDB terhadapnya dan tujuh yang lain berhubung kerugian kewangan akibat dakwaan penyalahgunaan kuasa dan pelanggaran tugas fidusiari.

Tujuh defendan lain itu ialah bekas eksekutif 1MDB, Terence Geh, Casey Tang, Jasmine Loo, Vincent Beng, Kelvin Tan, Nik Faisal Ariff Kamil, dan Radhi Mohamad.

Ketika difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Mei tahun lalu, saman itu turut menamakan bekas pengarah 1MDB Che Lodin Wok Kamaruddin, Ismee Ismail, Ong Gim Huat dan Ashvin Jethanand Valiram; bekas CEO, Shahrol Azral Ibrahim Halmi and Mohd Hazem Abdul Rahman; dan bekas ketua pegawai kewangan, Azmi Tahir sebagai defendan.

Bagaimanapun, The Edge melaporkan pada 12 Julai tahun lalu, nama mereka telah dikeluarkan daripada saman itu.

Ismee, Shahrol, Hazem dan Azmi juga telah memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan dalam perbicaraan jenayah berasingan terhadap Najib dalam kes rasuah 1MDB melibatkan dana RM2.28 bilion.

Menurut pernyataan pembelaan yang difailkan pada 28 Mac tahun ini dan dilihat Malaysiakini, Najib menafikan setiap dakwaan yang didakwa oleh 1MDB dalam saman sivil terhadapnya, "melainkan yang telah diakui secara nyata".

Bekas menteri kewangan itu berkata 1MDB diletakkan di atas beban bukti yang kukuh bagi setiap segala dakwaan.

“Adalah jelas daripada writ saman terpinda bahawa pesalah yang pada mulanya dinamakan telah dikeluarkan.

“Ini menimbulkan syak wasangka dan ketidakjujuran palintif- plaintif dalam memfailkan guaman ini, justeru merupakan suatu penyalahgunaan proses,” dakwa Najib, yang pernah menjadi pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Bagaimanapun, pernyataan pembelaan yang difailkan menerusi firma guaman Shafee & Co itu tidak secara khusus menyatakan defendan - yang digugurkan daripada saman itu - melakukan kesalahan.

Najib berkata pernyataan pembelaan itu difailkan tanpa menjejaskan haknya untuk memfailkan permohonan interlokutori lanjut, seperti meminda pembelaan atau membatalkan keseluruhan saman.

“Pada ketika ini, pernyataan pembelaan ini juga difailkan tanpa prejudis kepada hak defendan pertama untuk berdiam diri berkaitan dengan kes jenayah no WA-45-7-11/2018 dan WA-45-8-11/2018 yang sedang berlangsung," katanya.

Nombor kes berkenaan merujuk kepada perbicaraan 1MDB.

Ketika prosiding jenayah, pasukan peguam tertuduh antara lain berhujah bahawa dia tidak tahu sebarang salah laku dan penyelewengan wang 1MDB didalangi oleh ahli perniagaan, Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low, serta beberapa pegawai 1MDB.

Sebelum ini dilaporkan Najib dan 1MDB bersetuju bahawa perbicaraan penuh saman sivil itu tidak akan diteruskan sehingga prosiding jenayah selesai.

Dalam tuntutan mahkamah itu, 1MDB dinamakan sebagai plaintif bersama empat anak syarikatnya - 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, dan Global Diversified Investment Company Limited yang berpangkalan di British Virgin Islands (sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited).

Saman berkenaan adalah satu daripada 22 tindakan sivil yang diambil oleh 1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC International tahun lepas, dengan menyasarkan mereka yang dikatakan menipu dua entiti milik kerajaan, sama ada secara sedar atau tidak.

Plaintif diwakili oleh peguam dari firma guaman Skrine.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS