Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Kenapa Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua Asean ditentang?

Polemik panas baru-baru ini melibatkan dua negara serumpun - Indonesia dan Malaysia - tentang Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua Asean. Polemik yang mengundang keriuhan seantero Nusantara ini dimulakan oleh cadangan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaacob. Apa yang dikatakan Ismail Sabri itu mengundang pihak yang pro dan kontra dalam negara, juga di negara seberang. 

Yang pro di Malaysia mengatakan bahawa apa yang diusulkan oleh Ismail Sabri itu bagus, mengenangkan penutur Bahasa Melayu bukan sedikit. Dan kita semua maklum, Bahasa Melayu bukanlah bahasa yang baru lahir semalam. Atau baru lahir 50 tahun sebelum ini. Bahasa Melayu adalah bahasa persuratan, bahasa lingua franca suatu masa dulu, bahkan bahasa ilmu dan kitab-kitab lama. 

Pernah ada peradaban suatu masa dulu menggunakan Bahasa Melayu. Tokoh spiritual seperti Hamzah Fansuri menggunakan Bahasa Melayu lama dalam menghasilkan karya-karyanya. Pantun-pantun yang diperturunkan berabad-abad lama dari generasi ke generasi juga menggunakan Bahasa Melayu. Apatah lagi cadangan Ismail Sabri itu bukanlah untuk digunakan di PBB, sebaliknya Asean. 

Kenapa sehingga hampir 70-80 tahun merdeka dari kuasa kolonial, kita masih belum berani untuk menggunakan bahasa kita sendiri, di sidang pertemuan orang-orang Asia Tenggara?

Sementara mereka yang kritis dan sinis pula kerana dilihat Ismail Sabri seakan tiada idea baru selain bermain dalam isu populis. Jika lain-lain perdana menteri - dari Umno - dikenali kerana idea dan program masing-masing, Ismail Sabri dilihat tidak mempunyai pasukan dan idea sendiri. Beliau seakan dibiarkan bersendirian. Kerana itu usulan idea penggunaan Bahasa Melayu dinilai pengamat sebagai populis.

Di Indonesia pula, seorang menteri menyanggah idea Ismail Sabri. Bahasa Indonesia dituturkan lebih ramai dari orang Melayu di Malaysia sendiri. Dan di Indonesia, Melayu itu adalah etnik (atau suku), sama seperti lain-lain etnik di Indonesia, seperti Jawa, Minang, Bugis, Batak, Betawi, Sunda, Ambon, Dayak dan Bali. 

Sementara di Malaysia, Melayu itu merujuk kepada kaum (bukan suku), seperti Cina dan India. Najib Razak, meski keturunan Bugis, adalah orang Melayu di Malaysia. Mahathir Mohamad meskipun keturunannya berasal dari Kerala, dalam autobiografinya Doktor Umum, beliau menegaskan identitinya sebagai seorang Melayu, bukan India. Zahid Hamidi meski ayahnya dari Kulon Progo, Yogyakarta dan ibunya dari Ponorogo, Jawa Timur, dia tetap dianggap dan menganggap dirinya orang Melayu. 

Jadi Melayu di Malaysia mewakili suatu umat yang luas, asal sahaja mereka memeluk Islam seperti ditakrifkan Perlembagaan Malaysia. Paling membezakan, di Malaysia, identiti nasional tidak sekuat sepreti di Indonesia. Bangsa Malaysia bunyinya masih janggal, berbeza dengan Bangsa Indonesia.

Eka Kurniawan, seorang penulis prolifik menyanggah fikiran orang Indonesia yang mahu menjauhkan hubungan dari sudut sejarah, budaya dan bahasa dengan Malaysia. Baginya Malaysia dan Indonesia sangat dekat. Beliau di Twitternya menampilkan buku tulisan Keris Mas - Sasterawan Negara Malaysia - dan Saat Omar - novelis FIXI. 

Baginya kedua karya ini boleh dibaca, difahami dan dekat dengannya. Syarat pendekatan Eka Kurniawan ini ialah kesanggupan membaca. Bila kita tidak mahu membaca, maka kita menganggap keduanya jauh, berjarak, terpisah dan berbeza.

Dan ketika Eka Kurniawan membaca buku Keris Mas dan Saat Omar, banyak buku Indonesia laku keras di Malaysia. Baik buku bacaan aktivis seperti Catatan Seorang Demonstran karangan Soe Hok Gie, Pergolakan Pemikiran Islam karangan Ahmad Wahib, bahkan buku-buku ulama tersohor Indonesia Hamka. Ia menunjukkan sempadan bahasa antara Malaysia dan Indonesia sangat kabur. Tiada perbezaan ketara jika kita benar-benar memerhatikan.

Arab dan Inggeris yang beribu kilometer geografinya dari kita, boleh sahaja diterima dan dianggap dekat dan akrab. Kata-kata Arab dan Inggeris diterima dalam pergaulan seharian kita dengan meluas tanpa banyak soal. Antaranya sabar, jahil, nama-nama hari, solat, tarawikh, bahkan iftar antara perkataan Arab yang terus diterima oleh kebanyakan orang Melayu yang obsesif dengan Arab, dan tumpul imaginasinya antara kedekatan rumpun Malaysia dan Indonesia. 

Bahkan nama-nama orang Melayu kita sangat kuat unsur Arab berbanding nama-nama tempatan seperti di Indonesia. Ada lagi yang mengatakan bahawa Malaysia lebih banyak menyerap Arab dan Inggeris sementara Indonesia lebih banyak menyerap Jawa dan Belanda. Dalam erti kata lain, kita lebih kuat pengaruh kolonial asing baik Inggeris dan Arab, berbanding Indonesia yang lebih kuat budaya lokalnya. Bagaimamapun, tidak banyak juga perkataan Belanda yang digunakan generasi mutakhir di sana.

Tetapi antara cabaran lain Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua Asean ialah Bahasa Melayu lebih eksklusif berbanding Bahasa Indonesia. Bahasa Melayu di Malaysia sendiri dianggap sebagai bahasa orang/kaum Melayu berbanding bahasa untuk semua orang Malaysia. Bahasa Melayu dianggap mempunyai ciri ketuanan Melayu-Islam. Bahkan definisi Melayu itu sendiri ditakrifkan Perlembagaan sebagai seorang yang beragama Islam. 

Bahasa Melayu sangat eksklusif

Kerana itu Bahasa Melayu seakan gagal menjadi bahasa nasional kerana identiti Islam yang terkandung dalam Bahasa Melayu itu. Bahkan apabila Alkitab - Bible Kristian - mahu menggunakan nama Allah dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu juga itu mengundang ribut yang bukan sekejap. 

Dalam erti kata lain, Bahasa Melayu sangat eksklusif. Dan usul Ismail Sabri hanyalah mendapat sokongan orang Melayu (itu pun tidak semua Melayu), apatah lagi bangsa lain. Berbeza dengan Bahasa Indonesia, meskipun ia dikatakan sebagai variasi dari Bahasa Melayu, tetapi Bahasa Indonesia yang dituturkan ratusan juta jiwa (lebih ramai dari orang Melayu di Malaysia) lebih inklusif meskipun Bahasa Indonesia merujuk pada sebuah negara. 

Bahasa Indonesia bukan milik orang Islam atau etnik Melayu di Indonesia Bangka-Belitung, Bengkulu mahupun Jambi semata-mata. Bahkan orang Kristian di sana juga menggunakan Bahasa Indonesia. Orang Tionghua di sana juga menggunakan Bahasa Indonesia. Indonesia adalah milik semua warga mereka tanpa mengira agama. 

Mereka nampaknya tidak takut dengan Bible yang telah lama diterjemahkan ke dalam Bahasa Indonesia, berbeza dengan kita. Singkatnya yang menjadi cabaran di sini, apabila bahasa dikaitkan dengan agama tertentu, pasti ia menjadi sedikit sebanyak benteng penghalang. Bahasa harus dibebaskan dari pengaruh agama.

Ya, pastinya usul Ismail Sabri bukanlah melibatkan pemahaman agama di negara masing-masing, meskipun isu ini juga wajar dipertimbangkan jika dia serius. Tetapi antara cabaran lain juga, adakah di Malaysia sendiri kerajaan serius untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa nasional? Atau ia hanya gimik politik, seperti biasa?

Zamir Mohyedin, seorang saintis muda dan penulis beberapa buku menyebutkan tentang ralatnya hal ini. Satu poin yang disebutkan beliau ialah nama bandar di Malaysia masih meletakkan nama Inggeris. Kita boleh lihat masih wujud George Town, Butterworth, Bangsar South dan Petaling Street. Sementara di Indonesia, Batavia - nama era Belanda - telah lama ditukar kepada Jakarta.

Kita pula di Putrajaya masih menggunakan presint untuk kawasan penempatan penduduk. Jadi tidak pelik jika ada yang menanggapi usul Ismail Sabri sekadar mahu memenangi hati orang Melayu. Sedangkan secara hakikatnya kita tidak benar-benar serius mendaulatkan Bahasa Melayu.

Adakah mereka serius?

Sememangnya secara ideal Bahasa Melayu diimpikan menjadi bahasa internasional - sekurang-kurangnya di peringkat Asean terlebih dahulu. Ini dibawa oleh golongan pejuang nasionalis Kiri seperti Ibrahim Yaakob, Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ahmad Boestamam. 

Tetapi apabila kepimpinan negara diambil alih oleh nasionalis Kanan dan seterusnya Umno, adakah mereka serius?

Najib Razak ketika menjadi PM, pada tahun 2017, pernah mengusulkan perkara yang sama seperti Ismail Sabri. Tetapi apakah beliau juga serius atau sekadar mahu membuat gempar?


BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecilan, penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS