Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kementerian muat naik kontrak pekerjaan pembantu rumah dalam masa terdekat

Kementerian Sumber Manusia akan memuat naik kontrak pekerjaan setebal 17 muka surat ke laman webnya tidak lama lagi sementara menunggu 10,000 pembantu rumah Indonesia diproses untuk kemasukan selepas sambutan Aidifitri, kata menterinya M Saravanan.

Kontrak itu membentuk Lampiran D memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani baru-baru ini untuk "Pekerjaan dan Perlindungan Pekerja Rumah Warga Asing Indonesia di Malaysia", yang masing-masing menyenaraikan hak dan tanggungjawab majikan dan pembantu rumah.

Bercakap kepada Malaysiakini, Saravanan berkata kontrak itu akan disediakan untuk pemahaman bakal majikan.

Bagaimanapun, Saravan berkata MOU itu secara keseluruhannya tidak akan didedahkan kepada umum kerana dia telah pun berkongsi elemen penting perjanjian itu dengan orang ramai.

Walaupun Pelan Tindakan Nasional Berhubung Isu Buruh Paksa (NAPFL) (2021-2025) bertujuan untuk ketelusan dengan mendedahkan dokumen MOU tersebut kepada umum, Saravanan berpendapat bahawa cara kandungan dokumen didedahkan kepada umum adalah subjektif.

"Saya tidak nampak mengapa keseluruhan dokumen itu mesti didedahkan kepada umum," tambahnya.

Walau bagaimanapun, salah satu matlamat strategik NAPFL bertujuan untuk meningkatkan ketelusan melalui akses awam kepada perjanjian dan peruntukan dua hala ini yang melindungi pekerja asing daripada buruh paksa.

NAPFL yang dilancarkan oleh Saravanan pada November tahun lalu adalah mencerminkan komitmen Malaysia untuk melindungi dan menjaga kebajikan semua pekerja, termasuk pekerja asing.

Peraturan yang lebih ketat

Malaysiakini telah melihat dokumen MOU pada 7 April, yang mendedahkan beberapa peruntukan lebih ketat dalam perjanjian baru itu termasuk pembayaran gaji yang tepat pada masanya, waktu rehat minimum dan pembahagian tugas yang ketat terletak di bawah tiga jawatan yang berasingan.

Pada sidang media di HRD Corp semalam, Saravan memaklumkan bahawa 10,000 pembantu rumah dari Indonesia akan diproses melalui sistem satu saluran dalam talian yang diperkenalkan dalam MOU antara kedua-dua negara.

Bagaimanapun katanya, majikan hanya boleh mengharapkan pekerja tiba selepas Aidilfitri kerana mereka keberatan untuk ke Malaysia sebelum sambutan hari Raya.

Ini adalah jumlah pekerja domestik yang sama yang dijadualkan datang ke Malaysia sebagai sebahagian daripada projek perintis pengambilan pekerja pada Februari tahun ini.

Dalam pada itu, Saravanan mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa portal dalam talian yang akan menghubungkan majikan Malaysia dalam proses pengambilan ialah Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing yang disediakan oleh Bestinet Sdn Bhd.

Katanya, dia akan bertemu Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono bagi mengesahkan perkara itu sebelum memulakan prosesnya.

Saravanan turut menafikan bahawa kementeriannya mempunyai kaitan dengan portal pengambilan pekerja domestik yang memaparkan logo kementerian dan telah berjanji untuk menyiasat laman web MyOCS. Semakan di laman web itu menunjukkan ia kini dalam penyelenggaraan.

Portal itu sebelum ini dikatakan akan menjadi portal pengambilan pekerja pembantu rumah untuk kementerian itu, terutamanya dalam pelaksanaan proses sistem satu saliran seperti dinyatakan di web itu.

Pembantu rumah dari negara lain

Dalam perkembangan berkaitan, Saravanan berkata dia telah pun menandatangani MOU dengan Vietnam untuk pengambilan pembantu rumah oleh majikan Malaysia dan sedang berbincang untuk memperbaharui perjanjian dengan India.

Katanya, dia juga sedang berbincang dengan rakan sejawatannya di Kemboja, Sri Lanka, Nepal dan Bangladesh.

“Saya akan melawat Vietnam dan Kemboja tidak lama lagi untuk membincangkan pengambilan pekerja domestik mereka,” katanya.

Ketika ditanya sama ada peruntukan MOU pembantu rumah daripada perjanjian dengan Indonesia akan diguna pakai di negara lain, Ketua Pengarah Jabatan Buruh Asri Rahman yang turut hadir pada sidang media itu berkata semua pekerja akan menikmati faedah yang sama.

"Apa sahaja faedah yang dipersetujui dalam MOU dengan Indonesia akan dikenakan kepada pembantu rumah dari negara lain," katanya


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS