Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kit Siang tolak jawatan 'mentor', mahu bersara sepenuhnya
Diterbitkan:  Apr 13, 2022 10:04 AM
Dikemaskini: 2:04 AM

Veteran DAP Lim Kit Siang menolak pelantikan sebagai mentor parti.

Bercakap pada majlis makan malam yang dianjurkan oleh pemimpin DAP malam tadi, Lim berkata dia telah menyampaikan keputusannya kepada Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

“Dia (Loke) boleh mengharapkan sokongan penuh saya terhadap kepimpinannya sebagai setiausaha agung DAP yang keenam walaupun saya tidak mempunyai jawatan dalam parti,” kata Lim

Lim, 81, menarik diri daripada pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP bulan lalu dan mengumumkan mahu bersara daripada kepimpinan parti.

Lim juga tidak akan mengambil bahagian dalam pilihan raya Parlimen atau Dewan Undangan Negeri akan datang - sekali gus menjelaskan bahawa dia akan bersara selepas enam dekad dalam politik.

Lim mengetuai DAP sebagai setiausaha agung - jawatan paling berkuasa parti itu - dari 1969 hingga 1999. Selepas itu, Lim kekal sebagai wajah paling dikenali parti dan aktif mengulas hal ehwal semasa melalui kenyataan bertulis.

Menggambarkan kerjaya politiknya yang panjang, Lim berkata dia dan pemimpin awal DAP didorong oleh "impian Malaysia" - kepercayaan bahawa Malaysia berpotensi untuk menjadi negara hebat bertaraf dunia.

Bagaimanapun, Lim berkata ideologi DAP sebaliknya difitnah dan dituduh sebagai anti-Melayu, anti-Islam dan juga komunis.

“Ini adalah kuasa propaganda negatif, berita palsu dan dakwaan palsu, tetapi melainkan kita dapat mencari jawapan kepada momokan itu, Malaysia tidak akan pernah mencapai potensinya untuk menjadi negara hebat bertaraf dunia.

"DAP tidak pernah menentang mana-mana kaum atau agama kerana ini bertentangan dengan kepercayaan asas kita bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang majmuk dan berbilang kaum, bahasa, agama dan budaya," kata Lim.

"Setengah abad kemudian, saya masih menunggu satu 'contoh' yang menunjukkan bahawa DAP adalah anti-Melayu, anti-Islam - atau DAP 'komunis'," kata Lim.

Mengenai hal ehwal semasa, Lim memberitahu bahawa DAP konsisten dalam dasar-dasarnya, menyorot bagaimana parti itu menggesa undang-undang untuk menghalang wakil rakyat daripada bertukar parti sejak 1978.

Lim berkata selepas pilihan raya umum 1969, DAP memenangi 13 kerusi parlimen dan 31 kerusi Dewan Undangan Negeri. Bagaimanapun, empat daripada ahli parlimen tersebut dan 11 Adun berpaling tadah.

“Sebab itu pada 21 Mac 1978, saya mengusulkan rang undang-undang persendirian di Parlimen untuk mengharamkan lompat parti oleh Ahli Parlimen yang memerlukan kekosongan kerusi dan menyebabkan pilihan raya kecil diadakan.

“Saya tidak sangka kita perlu menunggu selama setengah abad untuk meletakkannya.

"Ini masih perlu dilakukan tetapi ia menunjukkan konsistensi DAP untuk memastikan integriti politik ahli parlimen, dan saya berpegang kepada pendirian bahawa ini boleh dilakukan dengan meminda Perkara 48 Perlembagaan mengenai kehilangan kelayakan ahli Parlimen," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS