Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Transaksi janggal 1MDB: Saya ada syak Najib juga terlibat - bekas pengerusi

Mohd Bakke Salleh tidak berjumpa dengan Najib Razak untuk memaklumkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi lembaga pengarah 1MDB.

Saksi pendakwaan ke-13 itu berkata, dia tidak berbuat demikian susulan syak wasangka bahawa bekas perdana menteri itu terlibat dalam dakwaan transaksi di luar kebiasaan 1DMB.

Dia berkata demikian dalam keterangannya ketika perbicaraan kes pinda audit 1MDB terhadap Najib dan bekas CEO 1MDB, Arul Kanda Kandasamy di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Ketika prosiding pada 22 Disember lalu, Bakke berkata susulan pendedahan berkenaan pelencongan AS$700 juta dana 1MDB, dia menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai pengerusi pada 19 Oktober 2009.

Ketika itu dia berkata, keputusan itu kerana pengurusan 1MDB tidak patuh kepada arahan lembaga pengarah berhubung dana AS$1 bilion milik syarikat itu, yang bertujuan untuk digunakan dalam usaha sama dengan syarikat Abu Dhabi, Petrosaudi Saudi International Limited (PSI).

Dia juga memberi keterangan yang Najib tidak membalas pesanan teksnya berkenaan pelencongan dana itu.

Dalam perbicaraan kes rasuah RM2.28 bilion terhadap Najib, mahkamah diberitahu wang AS$700 juta itu dialihkan ke Good Star Limited, yang didakwa dikawal oleh ahli perniagaan dalam pelarian, Low Taek Jho.

Ketika perbicaraan kes pinda laporan audit 1MDB hari ini, Bakke diperiksa balas oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee bertanya Bakke kenapa dia tidak memberitahu Najib tentang hasratnya untuk letak jawatan.

"Saya tak (jumpa) pada masa itu kerana saya ada syak yang bekas perdana menteri juga terlibat dalam ini, terlibat dalam 'scheme of things' tentang pelaburan (dana AS$1 bilion untuk usaha sama) dengan Petrosaudi.

"Saya putuskan yang saya tidak mahu jumpa dia secara peribadi. Saya tak selesa," kata Bakke.

Katanya, dia mengelak daripada memberitahu Najib juga disebabkan Najib telah memberitahunya agar memaklumkan kepada lembaga pengarah untuk membuat keputusan berkenaan cadangan usaha sama dengan PSI.

Bakke merujuk keterangannya pada 1 April, di mana dia mendakwa Najib menerusi panggilan telefon pada 26 September 2009 mengarahkannya agar tidak menghabiskan banyak masa melihat transaksi lama dan fokus kepada cadangan usaha sama itu.

Dia mendakwa Jho Low - yang hadir dalam mesyuarat itu - menyerahkan telefon kepadanya untuk bercakap dengan Najib.

Disoal lanjut oleh Shafee, dia menjelaskan keraguannya dicetuskan oleh tiadanya penilaian sewajarnya terhadap cadangan usaha sama itu walaupun ia perlu dilakukan.

Bakke berkata dia juga pada masa itu percaya pengurusan 1MDB mengabaikan lembaga pengarah kerana mereka mengambil arahan daripada Najib dan Jho Low.

Surat tak nyatakan keraguan

Ketika Shafee bertanya jika keraguannya itu bersandarkan bukti, Bakke berkata keraguannya disahkan apabila dia bertemu bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi enam tahun selepas peletakan jawatannya.

"Saya jumpa dan tanya dia bagaimana ini semua (kejanggalan dalam 1MDB) berlaku. Dia berkata yang dia ambil arahan daripada Jho Low dan bekas perdana menteri (Najib)," dakwanya.

Bagaimanapun dia mengaku yang dia tidak menyatakan keraguannya berkenaan Najib dalam surat peletakan jawatan.

Kemudian selepas pemeriksaan semula dengan timbalan pendakwa raya Gopal Sri Ram, Bakke berkata panggilan telefon daripada Najib itu telah menyebabkan lembaga pengarah "mempercepatkan proses".

Dia juga berkata tindakan Najib yang tidak membalas pesanan teksnya berkenaan pelencongan AS$700 juta telah mengesahkan lagi syak wasangkanya terhadap bekas perdana menteri itu.

Prosiding di depan hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS