Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PH S’wak gesa SPRM siasat pembinaan jeti kayu bernilai RM50,000

Pakatan Harapan (PH) Sarawak menggesa SPRM menyiasat jeti kayu yang bernilai RM50,000 di Miri, Sarawak selepas ia mencetuskan kritikan orang ramai berhubung kosnya.

Semalam, sebagai respons kepada isu yang tular di media sosial itu, Jabatan Kerja Raya Sarawak menjelaskan jeti itu diperbuat daripada kayu belian dan harganya sebenarnya di bawah kadar pasaran.

JKR Sarawak dalam kenyataannya juga berkata isu terdapatnya buaya dan akses yang terus ke Kampung Mutap, kira-kira 60km dari Miri, sebagai sebab jeti kayu sepanjang 15m itu menelan kos RM50,000.

Bagaimanapun, setiausaha PH Sarawak Alan Ling memberitahu Malaysiakini bahawa SPRM harus campur tangan untuk memeriksa sama ada harga tersebut berpatutan untuk projek jeti itu.

“Orang ramai berasa skeptikal dan mempersoalkan banyak perkara mengenai projek itu, seperti sama ada adakah kosnya perlu sangat tinggi dan jika terdapat isu kronisme yang terlibat,” katanya.

Ling berkata ia bukanlah satu salah faham seperti yang dinyatakan oleh Adun Bekenu Rosey Yunus.

“Sebaliknya, ia menjadi satu persoalan yang besar. Ia mesti disiasat secara menyeluruh oleh SPRM atau mungkin menyampaikan isu itu kepada Jabatan Audit Negara untuk menghapuskan keraguan rakyat,” katanya.

Alan Ling

Ling menambah bahawa penjelasan JKR Sarawak hanya menimbulkan keraguan.

Menurut Borneo Post sebelum ini, Rosey berharap agar penjelasan JKR Sarawak dapat menjelaskan salah faham mengenai projek itu.

“Ia telah menjadi tular di media sosial dan telah menjadi isu nasional. Ia adalah isu yang sangat teknikal, tetapi penjelasan kamu sebenarnya menimbulkan lebih banyak keraguan dan rakyat tidak berpuas hati,” menurut Ling.

Kayu belian dikatakan merupakan spesies kayu yang jarang ditemui di Borneo dan kukuh. Ia tidak mudah reput dan mempunyai ketumpatan tinggi serta daya tahan yang baik terhadap kerosakan air dan serangan serangga.

Nilai pasarannya tinggi dan struktur rumah panjang Dayak biasanya dibina menggunakan kayu tersebut.

Kekurangan ciri keselamatan

Walaupun jabatan itu menjelaskan bahawa RM50,000 itu termasuk kos keselamatan, Ling mempersoalkan mengapa jeti kayu itu tidak mempunyai sebarang ciri keselamatan seperti tempat pemegang atau jaring, dan tidak dibina dengan bahan yang lebih stabil, memandangkan pihak berkuasa menyedari terdapat buaya di kawasan itu.

Dia juga bersetuju bahawa pihak berkuasa tidak melakukan prosedur yang sepatutnya dengan tidak mempedulikan cadangan awal untuk membina jeti keluli dan menggantikannya dengan kayu kerana peruntukan tidak mencukupi.

“Oleh itu, saya menggesa SPRM menyiasat sama ada kos RM50,000 itu munasabah dan sama ada kontraktor layak mendapat keuntungan yang diperolehi.

"Sebaik sahaja SPRM memulakan siasatan, resit bahan, logistik dan bayaran untuk tenaga kerja perlu disediakan, dan kita akan tahu hal sebenar,” katanya.

Ling menegaskan perkara ini penting kerana ia akan menunjukkan sama ada kerajaan negeri mengamalkan perbelanjaan yang cermat di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP).

“Banyak infrastruktur di Sarawak dibiayai di bawah RTP, kita tidak boleh biarkan projek itu memberi manfaat kepada beberapa kroni yang didakwa, tetapi tidak mencapai hasil yang sepatutnya dan kurang perancangan jangka panjang,” katanya.

Sebelum ini, majoriti warganet mempersoalkan kos pembinaan jeti yang sebanyak RM50,000, selepas jabatan itu mengumumkan penyiapan pembinaannya.

Ramai yang ragu-ragu dengan kualiti projek itu memandangkan ia disiapkan dalam tempoh yang singkat.

Ada yang mendakwa projek jeti kayu itu tidak sepatutnya melibatkan kos yang tinggi, melainkan diperbuat daripada kayu gred tinggi yang digunakan untuk perabot mewah.

Menurut jabatan itu, ketua kampung di situ menolak jeti keluli dan memilih yang diperbuat daripada kayu belian kerana peruntukan yang terhad.

Warganet turut mempertikaikan bahawa JKR Sarawak sepatutnya memberikan pecahan kos dan bukannya menyalahkan buaya dan ketua kampung.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS