Hakim dan semua pihak yang terlibat dalam perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda yang didakwa mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella, akan melawat lokasi kejadian di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju yang merupakan tempat tinggal mangsa, Rabu ini.
Keputusan lawatan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Izralizam Sanusi yang membenarkan permohonan pembelaan pada prosiding kes itu hari ini yang dihadiri peguam M Yallini, mewakili Siti Bainun Ahd Razali dan Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik.
Izralizam berkata mahkamah perlu mendapatkan gambaran lebih jelas berdasarkan gambar-gambar tempat kejadian yang dikemukakan kepada mahkamah sebelum ini ketika perbicaraan.
"Mahkamah berpendapat selepas meneliti ekshibit gambar lokasi kejadian, mahkamah perlu melihat dengan lebih jelas gambaran atau pandangan bilik (dobi) supaya lebih memahami insiden yang diceritakan dalam keterangan saksi.
Saya teliti gambar tersebut tidak dapat memberikan gambaran yang jelas terutamanya di tingkap kerana tidak tahu mana satu tingkap yang boleh dibuka dan boleh masukkan tangan. Jadi seperti mana yang peguam hujahkan, adalah wajar untuk saya pergi ke tempat kejadian sendiri dan melihat,” katanya.
Izralizam berkata hanya pihak pendakwaan, peguam, saksi, kakitangan mahkamah iaitu jurubahasa dan hakim serta tertuduh, Siti Bainun dibenarkan ke lokasi kejadian pada hari tersebut.
"Lawatan akan dilakukan pada 10.30 pagi dan perbicaraan akan dijalankan selepas lawatan berkenaan," katanya.
Antara lokasi yang akan diperiksa dengan lebih jelas oleh mahkamah adalah bilik dobi di kondominium berkenaan berdasarkan keterangan saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood, 18, yang juga penghuni Rumah Bonda.
Pada prosiding minggu lalu, peguam Nur A'minahtul Mardiah Md Nor, yang mewakili Siti Bainun memohon untuk melawat lokasi kejadian bagi mendapatkan gambaran sebenar rumah selain saiz bilik dobi kerana menurut Yasmin banyak kejadian dilakukan oleh tertuduh di bilik tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas membantah permohonan peguam itu atas alasan kes ini sudah berada di peringkat perbicaraan dan bukan dalam siasatan dan ia tidak akan memprejudiskan kedua-dua pihak maka adalah tidak wajar untuk mahkamah melawat tempat kejadian.
Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju, di Kuala Lumpur antara Februari dan Jun 2021, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
- Bernama