Wisma Putra hari ini mengakui tindakan memanggil balik dua diplomat negara di Emiriah Arab Bersatu (UAE) adalah berkaitan lawatan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ke sana baru-baru ini.
Menyifatkannya sebagai bukan perkara yang luar biasa, Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata tindakan itu kerana dua pegawai itu gagal menyelaraskan urusan pentadbiran dan logistik perdana menteri di sana.
“Tindakan sedemikian diambil kerana kedua-dua ketua perwakilan tersebut telah gagal menyelaras urusan pentadbiran dan logistik bagi lawatan perdana menteri sepertimana yang sepatutnya berdasarkan Prosedur Operasi Tetap (SOP) bagi lawatan peringkat tinggi negara di luar negeri, terutamanya semasa ketibaan perdana menteri di Dubai pada 29 Mac.
“Kegagalan ini termasuk perdana menteri terpaksa menunggu lama di ruang ketibaan biasa bagi urusan pelepasan pasport oleh Imigresen Dubai.
“Selain itu, liputan dan kawalan keselamatan serta pergerakan motoked yang sepatutnya disediakan untuk perdana menteri seperti amalan SOP biasa juga tidak ada,” menurut Wisma Putra.
Kenyataan itu bagi mengulas laporan portal Free Malaysia Today yang memetik sumber semalam bahawa dua pegawai tersebut diletakkan di dalam ‘cold storage’ ekoran pengendalian lawatan perdana menteri ke UAE itu.
Menurut Wisma Putra, kandungan laporan tersebut jelas menunjukkan sumber yang dirujuk atau dipetik bukan daripada kalangan pegawai atau pihak yang terlibat secara langsung dalam pengendalian lawatan tersebut.
“Tindakan memanggil balik kedua-dua pegawai tersebut bukan sesuatu luar biasa dan dibuat melalui perundingan dengan pihak-pihak yang berkenaan, termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Ia bagi menjaga kepentingan hubungan bilateral di antara Malaysia dan negara-negara berkenaan, di samping bagi memastikan kompetensi dan kepentingan perkhidmatan awam,” kata Wisma Putra.
Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata menurut kebiasaan walaupun kerajaan tuan rumah tidak dapat menyediakan sambuan bertaraf tetamu, ketua perwakilan Malaysia tetap akan menyediakan liputan dan kawalan keselamatan serta motoked yang mengikuti SOP untuk perdana menteri.
Namun, menurutnya, kedua-dua pegawai tersebut telah gagal memaklumkan kepada Kementerian Luar Negeri di Putrajaya tentang penganjuran Sidang Kemuncak Kerajaan Sedunia (yang turut diadakan dalam kawasan Ekspo Dubai.
Ismail Sabri telah mengadakan lawatan ke Dubai pada 29-31 Mac 2022 sempena Ekspo 2020 Dubai.
“Pimpinan tertinggi Kementerian Luar Negeri hanya mengetahui tentang WGS pada pagi 30 Mac melalui sumber lain.
“Sekiranya pimpinan tertinggi KLN telah dimaklumkan awal, pastinya usaha telah dibuat supaya perdana menteri menyampaikan ucapan di program tersebut,” kata Wisma Putra.
Kata Wisma Putra lagi, masalah tidak akan timbul jika penyelarasan dibuat lebih awal, memandangkan kerajaan UAE telah menyediakan semua kemudahan kepada Ismail sepanjang kunjungan itu.