Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu GOPinjam TnG: Bank Negara akan campur tangan jika mudarat
Diterbitkan:  Apr 11, 2022 3:46 PM
Dikemaskini: 7:47 AM

Bank Negara Malaysia tidak akan campur tangan dalam mana-mana produk pembiayaan runcit melainkan ia mengesan amalan tidak adil dan membawa mudarat.

Bank pusat itu berkata demikian ketika ditanya mengenai GOPinjam, tawaran kredit mikro yang dilancarkan baru-baru ini melalui e-dompet Touch 'n Go, dengan faedah pinjaman boleh meningkat sehingga 36 peratus setahun.

Walaupun Malaysiakini telah meminta maklum balas daripada BNM khusus mengenai GOPinjam, kenyataannya tidak menyebut mengenai produk tersebut.

Sebaliknya, bank pusat itu menyediakan kenyataan umum mengenai kewajipan penyedia perkhidmatan kewangan dan pengguna.

“Bank ingin menjelaskan bahawa ia tidak campur tangan dalam penetapan harga produk pembiayaan runcit, yang merupakan keputusan komersial penyedia perkhidmatan kewangan (FSP).

"Bagaimanapun, menjadi sebahagian daripada penyeliaan terhadap pengendalian perniagaan FSP untuk bank ini melaksanakan semakan pematuhan FSP terhadap keperluan layanan adil.

"(BNM) akan campur tangan jika kami mengesan sebarang amalan atau kelakuan tidak adil yang boleh menyebabkan kemudaratan besar kepada pengguna kewangan," katanya pada kenyataan kepada Malaysiakini.

BNM menjelaskan pihaknya tidak campur tangan untuk menggalakkan daya saing dan inovasi dalam pasaran kredit, termasuk mencipta lebih banyak produk yang lebih mudah diakses oleh orang ramai.

"FSP digalakkan untuk berinovasi dan membangunkan produk baru yang boleh meningkatkan kebolehcapaian perkhidmatan kewangan penting yang memenuhi keperluan pengguna kewangan yang berbeza-beza dan pelbagai.

"(Ini) terutamanya bagi mereka yang secara tradisinya kurang mendapat layanan daripada sistem kewangan formal," katanya.

Bagaimanapun, bank pusat itu juga menggesa FSP untuk menjalankan penilaian kemampuan dan mematuhi nisbah pembiayaan hutang yang berhemat.

“Ini berfungsi sebagai perlindungan penting untuk melindungi pengguna daripada beban hutang yang berlebihan dan kesusahan kewangan.

"FSP juga mesti melaksanakan kawalan yang mencukupi dan berkesan untuk menyelesaikan dan memantau aduan pengguna," katanya.

BNM juga menasihatkan pengguna untuk memastikan mereka mampu membayar balik pinjaman pada masa depan sebelum berhutang.

BNM perlu campur tangan

Terdahulu, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) membangkitkan kebimbangan terhadap kemudahan GOPinjam yang baru dilancarkan.

"BNM perlu campur tangan untuk menyemak GOpinjam oleh Touch 'n Go dan CIMB ini.

“Nampak macam Ah Long atau ceti haram tidak berlesen melalui platform digital," dakwa Pegawai Operasi Fomca Saravanan Thambirajah kepada Malaysiakini.

"Ini seolah-olah Ah Long berlesen. Faedahnya adalah 'cekik darah' dan mengelirukan. Pengguna akhirnya akan membayar lebih jika mereka terlepas pembayaran," dakwanya.

Sebagai maklum balas, Kumpulan Touch 'n Go berkata kadar faedah untuk GOPinjam adalah setanding dengan kadar pinjaman peribadi lain di negara ini.

"Kadar faedah untuk pinjaman peribadi digital adalah antara lapan peratus dan sehingga maksimum 36 peratus.

“Kami menjangkakan kadar purata merentas portfolio peminjam kami setanding dengan kadar pinjaman peribadi lain," katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, semakan ke atas pinjaman peribadi yang terdapat di bank tempatan menunjukkan bahawa mereka menyediakan kadar faedah atau keuntungan yang bermula antara lima peratus dan lapan peratus, bergantung kepada tempoh dan jumlah pinjaman.

Sesetengah bank juga mengehadkan kadar faedah maksimum pada 15 peratus.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS