Senator Ras Adiba Radzi menyokong memorandum yang mencadangkan agar lantikan aktivis sosial Syed Azmi Alhabshi sebagai penasihat Mahkamah Bagi Kanak-Kanak (MBKK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan ahli pemegang amanah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) ditamatkan.
Menurut Ras Adiba yang mewakili komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) di Dewan Negara, sokongan itu berikutan terdapat isu integriti dan percanggahan kepentingan melibatkan Syed Azmi, yang juga merupakan pengasas bersama Pusat Perlindungan Rumah Bonda, di mana seorang remaja Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella sebelum ini ditempatkan.
“Perkara ini saya akan bawa kepada perhatian terus Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-undang).
“Percanggahan kepentingan ini berlaku apabila penasihat MBKK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pemegang Amanah YKN (Syed Azmi) juga merupakan Pengasas Bersama Pusat Perlindungan Rumah Bonda NGO, di mana Bella ditempatkan.
“Ini jelas menunjukkan terdapat isu integriti dan percanggahan kepentingan (conflict of interest),” kata presiden OKU Sentral itu dalam hantaran di Facebook hari ini.
Memorandum tersebut telah disampaikan oleh pensyarah dan aktivis kanak-kanak Muhamad Firdaus Ibnil Hajar. Memorandum itu diusahakan bersama dua peguam yang juga aktivis kanak-kanak Fatihah Jamhari dan Megat Syazlee Mokhtarum.
Hantaran Ras Adiba itu dibuat selepas dia mendapat kritikan kerana tidak bersuara berhubung isu remaja perempuan yang didera di pusat perlindungan terbabit.
Semalam, pengerusi agensi berita nasional (Bernama) itu berkata dia tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kes mahkamah yang sedang berjalan berhubung remaja berkenaan.
Dia turut menafikan dakwaan seorang individu bahawa agensi berita nasional itu mengawal media dan justeru, kes Bella tidak dilaporkan oleh media lain.
Untuk rekod, kes Bella tular di media sosial tahun lepas selepas seorang wanita mendakwa remaja perempuan itu disimbah dengan air panas dan diikat ketika berada di bawah jagaan Rumah Bonda, sebuah rumah kebajikan pertubuhan bukan kerajaan.
Susulan itu, pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali, 30, didakwa atas dua pertuduhan mengabaikan serta mendera remaja berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di Kuala Lumpur antara Februari dan Jun 2021.
Siti Bainun didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Dia tidak mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan.
Terdahulu satu petisyen menggesa penamatan lantikan Syed Azmi dimulakan, dengan setakat ini mendapat lebih 67,000 penandatangan.