Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Ada pelarian masih di pusat tahanan Imigresen lepas lebih setahun’

Kumpulan yang memperjuangkan nasib pelarian telah menyuarakan kebimbangan mereka mengenai situasi pelarian dan mereka yang mencari suaka, yang dipercayai dalam kalangan 4,000 pendatang asing yang ditempatkan di pusat tahanan Imigresen selama lebih setahun.

Pengarah Inisiatif Utara-Selatan Adrian Pereira berkata berdasarkan penelitian pihaknya sebelum ini mendapati pelarian disabitkan kesalahan, menjalani hukuman penjara, dan kemudian dipindahkan ke dalam tahanan Jabatan Imigresen.

“Jika mereka tidak mempunyai dokumen butiran diri mereka dan wang untuk membeli tiket mereka, maka mereka tidak boleh pulang,” kata Pereira kepada Malaysiakini semalam.

Tidak seperti pendatang asing lain yang berada dalam tahanan dengan akses untuk mendapatkan perkhidmatan kedutaan, Pereira berkata pelarian atau pencari suaka yang terpaksa meninggalkan negara atau kerajaan mereka selalunya tidak mempunyai pilihan untuk pulang.

Pereira berkata demikian mengulas jawapan bertulis Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin di Parlimen kepada ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok baru-baru ini yang mendedahkan, terdapat 16,989 pendatang asing di 18 depoh Jabatan Imigresen di seluruh negara setakat 22 Mac, di mana 12,383 daripadanya lelaki, 3,188 wanita, 777 kanak-kanak lelaki dan 638 kanak-kanak perempuan.

Menurut Hamzah, pendatang dari Filipina, Indonesia dan Myanmar adalah yang ketiga paling ramai di dalam tahanan Imigresen setakat 22 Mac iaitu - warga Filipina (6,212), Indonesia (4,722) dan Myanmar (3,505), manakala selebihnya termasuk dari Vietnam, Thailand, India, China, Kemboja, Nepal dan lain lain.

Daripada jumlah itu, 10,383 pendatang asing tanpa dokumen telah ditahan dalam tempoh kurang daripada enam bulan, iaitu 2,427 antara enam hingga 12 bulan, manakala baki 4,176 lagi telah ditahan selama lebih setahun.

Menyentuh mengenai tempoh penahanan yang lama, Pereira mendakwa mungkin terdapat individu yang mendapat keuntungan daripada operasi depoh Imigresen.

"Pada hakikatnya, pusat tahanan ini adalah perniagaan yang besar. Katering, penyelenggaraan dan lain-lain, jadi mesti ada yang menjana pendapatan daripadanya.

"Tiada tujuan sosial atau manfaat yang sebenar daripada menahan mereka ini (pelarian yang disabitkan kesalahan) kerana hukuman mereka telah pun dijalankan (di penjara). Jadi mengapa kamu masih simpan mereka (di pusat tahanan)?” kata Pereira.

Adrian Pereira

UNHCR tidak akan masuk campur

Pereira juga mendakwa bahawa pelarian yang disabitkan bersalah tidak akan menerima sebarang bantuan daripada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Ini berbeza dengan nasib mereka yang ditangkap dan ditahan hanya atas faktor imigresen.

“Jika seseorang itu ditahan kerana kesalahan jenayah, UNHCR tidak akan campur tangan dan hanya membiarkan individu tersebut meringkuk di pusat tahanan.

"Mereka (UNHCR) menggunakan alasan ini - pihak berkuasa Malaysia mempunyai hak untuk menghantar pulang sesiapa, tetapi jika anda bertanya kepada Kementerian Dalam Negeri, mereka akan berkata 'tidak, tunggu UNHCR menyediakan dokumen sebelum kami bebaskan individu itu'," katanya.

Tambahnya, banyak perkara yang tidak jelas dalam situasi ini.

Undang-undang imigresen tidak membezakan antara pelarian dan pendatang tanpa dokumen yang lain, tapi Hamzah, dalam jawapannya itu, mengesahkan terdapat pelbagai kategori tahanan.

Menteri itu berkata tahanan Imigresen termasuk mereka yang direman di bawah Akta Imigresen 1959/1963; pendatang yang dibebaskan dari penjara; pendatang yang diserahkan oleh agensi kerajaan lain, sementara menunggu dihantar pulang; dan kanak-kanak di bawah umur yang telah menamatkan pemulihan di sekolah Henry Gurney.

Berhubung usaha mempercepatkan penghantaran pulang dan mengurangkan kesesakan di depoh, Hamzah berkata Jabatan Imigresen sentiasa berunding dengan wakil negara masing-masing.

Peringkat awal wabak Covid-19 pada 2020 menyaksikan lonjakan jumlah tahanan baru selepas pihak berkuasa imigresen bertindak tegas terhadap pendatang, sebagai sebahagian daripada proses penutupan pintu masuk sempadan di seluruh negara.

Ia juga melibatkan pelancong yang tinggal lebih tempoh dan merekodkan sekurang-kurangnya satu kematian berprofil tinggi.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri Ismail Mohamed Said memberitahu parlimen bahawa 208 kematian dalam tahanan Imigresen direkodkan dari 2018 hingga 15 Feb tahun ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS