Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dua individu mahu tanding ketua cabang PKR dakwa nama digugur sebagai ahli

Kurang lima jam untuk tempoh penamaan calon ditutup secara rasmi bagi pemilihan PKR, dua individu mendakwa nama mereka tercicir daripada senarai keanggotaan secara misteri.

A Vethamoorthy yang merupakan anggota parti sejak tahun 2013, berkata dia tidak dapat mengemukakan penamaan calon bagi bertanding ketua cabang Sungai Siput selepas diberitahu bukan lagi ahli PKR.

"Saya ke pusat penamaan calon di Perak semalam untuk membuat penamaan calon bagi jawatan ketua cabang.

"Namun saya diberitahu bahawa tidak layak bertanding kerana bukan lagi ahli parti. Saya telah membawa perkara ini Majlis Pimpinan Negeri (MPN)," katanya kepada Malaysiakini.

Seorang lagi wanita yang sebelum ini mendakwa diganggu secara seksual oleh Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan, berkata namanya turut tercicir daripada senarai ahli.

"Saya mendapati semalam nama saya hilang daripada senarai keahlian setelah cuba membuat permohonan secara dalam talian bagi jawatan ketua cabang Sungai Siput," katanya kepada portal berita ini.

Malaysiakini tidak dapat menyiarkan nama wanita itu kerana kes gangguan seksual berkenaan masih dalam siasatan.

Menurut wanita berkenaan, dia mendaftar sebagai ahli seumur hidup pada tahun 2018 dan pernah memegang jawatan bendahari di peringkat cabang pada tahun 2018.

"Maka mustahil nama saya hilang begitu sahaja daripada senarai keahlian," katanya.

Menurutnya lagi dia telah membawa perkara tersebut kepada pucuk pimpinan PKR termasuk Presiden Anwar Ibrahim.

"Beliau (Anwar) berjanji akan membawa perkara ini ke JPP (Jawatankuasa Pemilihan PKR). Harap saya diberi peluang untuk bertanding," katanya.

Ketika dihubungi, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan menerima aduan berkenaan.

"Beberapa aduan lain termasuk kes ini akan dirujuk dengan jabatan keanggotaan untuk diperiksa status mereka.

"Jawatankuasa Pemilihan Parti sedang memeriksa kes-kes yang diadu, sama ada masih anggota parti atau individu-individu ini bukan lagi anggota dalam parti (digantung atau dipecat),” katanya.

Pemilihan PKR bagi penggal 2022-2025 akan diadakan pada Mei ini.

Seramai 1.2 juta ahli PKR akan membuat undia dengan pemilihan diadakan secara hibrid.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS