Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Subsidi haji: Salahuddin mahu Idris berterus terang
Diterbitkan:  Apr 9, 2022 4:04 PM
Dikemaskini: 8:04 AM

Kerajaan Keluarga Malaysia didesak segera menyatakan secara tuntas berapakah kadar subsidi yang akan diberikan kepada jemaah haji pada tahun ini.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata ketika ini perkara tersebut tidak dinyatakan oleh mana-mana pihak termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Ahmad.

"Kerajaan digesa untuk menyatakan adakah kadar bayaran sebanyak RM9,980 untuk setiap jemaah haji seperti tahun-tahun lalu akan dikekalkan atau sebaliknya.

"Oleh itu, saya menggesa kepada pihak Lembaga Tabung Haji (TH) dan kerajaan agar segera menyatakan berapakah kadar subsidi yang boleh diperuntukkan kepada jemaah haji pada tahun ini," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Semalam TH memaklumkan kos untuk menguruskan jemaah haji negara ini meningkat sebanyak 12 peratus, menjadikan jumlah keseluruhan bagi setiap seorang mencecah kira-kira RM25,000.

Idris hari ini memberitahu, jemaah haji yang pergi ke Tanah Suci melalui TH tetap akan diberikan subsidi. Bagaimanapun naib presiden PAS itu tidak menyatakan berapakah jumlah subsidi yang akan dikeluarkan.

Dia juga meminta semua orang Islam berdoa agar urusan tersebut dipermudahkan.

Pada 31 Mac lalu Idris memberitahu Dewan Negara bahawa kos mengerjakan haji di negara ini tidak pernah berubah sejak 2009. Ia mencetuskan kebimbangan bahawa setiap jemaah perlu mengeluarkan lebih banyak belanja bagi mengerjakan haji pada musim ini.

Salahuddin berkata kerajaan juga bertanggungjawab untuk menjelaskan segera jumlah kuota menunaikan haji yang diperuntukkan untuk Malaysia.

Setakat ini, kata ahli parlimen Pulai itu, orang ramai masih tidak mendapat sebarang maklumat mengenainya.

Berdasarkan kenyataan Idris hari ini, katanya, Arab Saudi masih belum memberitahu jumlah kuota yang diberikan kepada Malaysia walaupun menjanjikan maklumat tersebut sebelum Ramadan.

"Justeru saya mencadangkan kerajaan mengutamakan jemaah haji yang belum pernah menunaikan haji bagi memenuhi kuota yang diperuntukkan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS