Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Idris minta berdoa sementara tunggu kuota dari Saudi
Diterbitkan:  Apr 9, 2022 12:57 PM
Dikemaskini: 4:57 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Idris Ahmad, hari ini meminta umat Islam di negara ini berdoa bersungguh-sungguh agar dapat terpilih menjadi jemaah haji.

Idris berkata, pada masa sama semua Muslim perlu banyak bersabar dan memberikan tumpun penuh kepada pelaksanaan ibadah puasa Ramadan.

Melalui kenyataan dibuat di media sosial hari ini, naib presiden PAS yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam itu berkata khabar mengenai kebenaran pelaksanaan haji dari Arab Saudi memang menggembirakan.

Katanya selepas dua tahun tiada jemaah yang dibenarkan berkunjung ke Tanah Suci ekoran wabak Covid-19, kini kerajaan Arab Saudi membuka pintu untuk ibadah tersebut.

Kata Idris, Riyadh dijangka memaklumkan kepada Lembaga Tabung Haji (TH) mengenai jumlah kuota haji untuk jemaah Malaysia pada tahun ini.

"Saya telah dimaklumkan bahawa pihak TH akan segera memaklumkan kepada saya apabila kuota haji bagi negara kita dimaklumkan oleh pihak kerajaan Arab Saudi sedikit masa lagi," katanya.

Buat masa ini kata Idris kerajaan hanya menunggu pengesahan mengenai jumlah kuota yang dibenarkan Riyadh.

Selepas itu, tambah Idris, semuanya akan dijalankan dengan sehabis baik.

"Sesungguhnya kepastian untuk menunaikan ibadah haji ini cukup memberi makna kepada kita semua.

"Terus berdoa, sabar dan fokus dalam menjalani ibadah ramadhan, dan sungguh-sungguhlah berdoa agar kita dapat menjadi tetamu Allah kelak," katanya.

Untut rekod semalam media melaporkan kos mengerjakan haji terus meningkat 12 peratus menjadi kira-kira RM25,000 seorang. Namun Idris memberitahu TH akan terus memberikan subsidi kepada jemaah yang terbabit.

Bagaimanapun dia tidak menyatakan jumlah atrau kadar subsidi yang akan diberikan TH. Ia mencetuskan kebimbangan kepada bakal jemaah haji mengenai kemungkinan mereka perlu mengeluarkan belanja lebih besar.

Ahli Dewan Negara itu juga menjelaskan sepatutnya Arab Saudi memaklumkan jumlah kuota untuk jemaah Malaysia sebelum Ramadan, namun sehingga kini ia belum dapat disahkan.

Dalam kenyataannya hari ini Idris tidak menyentuh isu pertambahan kos tersebut.

Kenaikan kos itu berlaku ekoran pertambahan cukai dan caj perkhidmatan baru yang dikenakan kerajaan Arab Saudi.

Pada 2019 kos mengerjakan haji untuk seorang jemaah ialah RM22,900 namun dengan subsidi yang diberikan mereka hanya membayar RM9,980.

Pun begitu bau-baru ini Idris memberitahu, kos tersebut tidak pernah dinaikkan sejak 13 tahun lalu.

Berdasarkan laman sesawang TH, kuota untuk jemaah haji Malaysia yang ditetapkan Riyadh ialah 31,600 orang berdasarkan kadar 0.1 peratus daripada jumlah penduduk sesebuah negara.

Tahun lalu Muhyiddin Yassin - ketika itu masih menjadi perdana menteri - berkata Arab Saudi bersetuju memberikan tambahan 10,000 kuota haji untuk jemaah Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS