Juri Amerika Syarikat menyabitkan kesalahan terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng pada Jumaat atas tuduhan rasuah berkaitan peranannya dalam bersengkongkol mencuri ratusan juta dolar daripada dana 1MDB Malaysia, lapor Reuters.
Tuduhan itu hadir daripada salah satu skandal kewangan terbesar dalam sejarah. Pendakwaan mendakwa Ng, bekas jurubank pelaburan terkemuka Goldman untuk Malaysia, kerana bersubahat untuk melanggar undang-undang antirasuah dan pengubahan wang haram.
Mereka berkata dia membantu bekas bosnya Tim Leissner menggelapkan wang daripada dana itu, pengubahan wang dan merasuah pegawai untuk mendapatkan perniagaan untuk Goldman.
Ng, 49, sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu. Peguamnya berkata Leissner, yang mengaku bersalah atas pertuduhan sama pada 2018 dan bersetuju untuk bekerjasama dengan penyiasatan pendakwa raya, secara palsu membabitkan Ng dengan harapan supaya dia hanya dijatuhkan hukuman ringan.
Juri mensabitkan Ng atas dua pertuduhan berkonspirasi dalam melanggar Akta Amalan Rasuah Luar Negara (FCPA) dengan rasuah dan memintas kawalan akaun dalaman Goldman, serta satu pertuduhan konspirasi untuk dalam pengubahan wang haram.
"Keputusan hari ini adalah satu kemenangan yang bukan sahaja untuk kedaulatan undang-undang, tetapi juga untuk rakyat Malaysia," kata pendakwa raya AS Daerah Timur New York Breon Peace, dalam satu kenyataan.
"Defendan dan kroninya tidak melihat 1MDB sebagai entiti untuk memberikan manfaat kepada rakyat Malaysia, tetapi sebagai tabung simpanan untuk mengkayakan diri mereka sendiri,” katanya.
Berpakaian sut jaket hitam dan bertali leher hitam, Ng tidak banyak menunjukkan emosinya ketika ketua juri membacakan keputusan itu.
Dia sebaliknya menoleh ke arah juri dan meja yang di mana dia duduk. Peguamnya, Marc Agnifilo pula hanya kelihatan kecewa selepas keputusan bagi pertuduhan pertama dibacakan.
Hakim daerah AS Margo Brodie kemudian, memerintahkan Ng dikenakan perintah berkurung sementara menunggu hukuman, tetapi berkata dia tidak mengkategorikan Ng sebagai individu sebagai berisiko melarikan diri.
Perbincangan berhubng keputusan itu bermula pada Selasa lalu, selepas perbicaraan hampir dua bulan di Mahkamah Persekutuan di Brooklyn.
Pada masa sama, Agnifilo berkata Ng mungkin akan membuat rayuan, bergantung kepada hasil keputusan selepas perbicaraan dan hukumannya.
Dia bagaimanapun, kekal dengan pendiriannya untuk meyakinkan Ng menolak ekstradisi untuk berdepan perbicaraan. Ini kerana menurutnya Ng mempunyai peluang yang lebih baik untuk perbicaraan yang adil di Amerika Syarikat daripada di Malaysia.
"Kes-kes besar seperti ini berat dan ia sukar untuk menang,” kata Agnifilo kepada pemberita.