Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Beberapa penceramah 'selebriti' di Selangor ditarik tauliah mengajar

Beberapa nama penceramah terkenal yang lazim dengan gaya penyampaian 'garang' kini tidak lagi dibenarkan memberi kuliah agama di sekitar Selangor selepas tauliah mengajar mereka ditarik balik oleh majlis agama Islam negeri itu.

Antara mereka yang terjejas ialah bekas calon PAS bagi DUN Kota Anggerik, Ahmad Dusuki Abd Rani, penceramah Nazmi Abdul Karim dan Syamsul Amri atau lebih mesra disapa sebagai Syamsul Debat.

Terdahulu, tular satu dokumen bertarikh 17 Mac 2022 yang dikatakan dikeluarkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) di media sosial yang dalamnya terkandung pengemaskinian senarai nama penceramah yang ditarik semula tauliah untuk mengajar.

Ahli Dewan Undangan Negeri Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar yang namanya juga turut tersenarai mengesahkan kesahihan dokumen terbabit ketika dihubungi Malaysiakini.

“Daripada maklumat yang kita terima, itu memang adalah satu dokumen rasmi yang saya boleh sahkan sebab kami juga telah dimaklumkan oleh exco agama Islam Selangor dalam grup WhatsApp.

“Dan kalau kita tengok ke Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pun mereka tidak menafikannya,” katanya.

Mohd Fakhrulrazi Mohd

Mohd Fakhrulrazi yang aktif bergiat dalam sesi kuliah di masjid-masjid sebelum menceburi arena politik mengakui berasa ‘ralat’ setelah tidak lagi memegang tauliah untuk mengajar.

Sedia akur

Bagaimanapun, Fakhrulrazi tidak berhasrat untuk mengemukakan sebarang bantahan dan menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka kerana sedar ia adalah untuk menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Tuanku menitahkan sendiri perkara tersebut dengan tujuan untuk memastikan masjid dan surau ini tidak dijadikan pentas politik dan tempat perpecahan.

“Maknanya kita yakin Tuanku bertindak sedemikian untuk memelihara kesucian ummah dan ‘rumah Allah’ dan untuk pastikan umat Islam ini bersatu-padu.

“Dan bagi saya, sesiapa yang ingkar walaupun telah disenaraikan itu dia telah menderhaka kepada titah Tuanku,” tambahnya lagi.

Mohd Fakhrulrazi menzahirkan harapan agar penguatkuasaan terhadap semua yang tersenarai dapat dilaksanakan untuk memastikan tiada yang berani melanggar keputusan tersebut.

“Jangan dipolitikkan perkara ini dan jangan kata pihak JAIS nak menghalang usaha dakwah dan sebagainya kerana bagi saya ini adalah suatu tindakan yang perlu dilaksanakan.

“Lebih-lebih lagi ketika mana kita tak boleh nafikan masjid dan surau disalahgunakan untuk medan politik dan mengutip dana sebagai derma sehingga berlaku penyelewengan di situ,” katanya.

Ahmad Dusuki Abd Rani.

Malaysiakini gagal mendapatkan ulasan dari pihak Ahmad Dusuki apabila dihubungi, namun dapat dilihat melalui hantaran di laman media sosial miliknya, penceramah terbabit mempunyai ketidakpuasan hati dengan situasi semasa.

“Kepada penjaga-penjaga dan pegawai agama, musim ini kekangan maksiat! Bukan sekat dakwah! Kalian sekat dakwah dan pendakwah, kalian akan berhadapan kesengsaraan di masa depan! Cubalah,” katanya melalui hantaran di Facebook.

Penceramah Nazmi Abdul Karim apabila dihubungi Malaysiakini memilih untuk mengunci mulut dan sudah mendapatkan khidmat peguam.

Syamsul Amri ketika dihubungi Malaysiakini masih belum memberikan sebarang kenyataan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS