mk-logo
Berita
MB Perak digesa perjelas dakwaan tanah 'dijual zaman PH'
Diterbitkan:  Apr 7, 2022 2:44 PM
Dikemaskini: 6:57 AM

Menteri Besar Perak Saarani Mohamad digesa memberi butiran lanjut berhubung dakwaan tanah milik GLC negeri yang diperuntukkan untuk lapangan terbang yang dijual dikatakan semasa era pentadbiran Pakatan Harapan.

Tuntutan itu dibuat dalam satu kenyataan yang ditandatangani oleh Pengerusi PH Perak Mujahid Yusof Rawa dan pemimpin negeri bagi Amanah (Asmuni Awi), DAP (Nga Kor Ming) dan PKR (Dr Lee Boon Chye).

"Apakah tanah yang dimaksudkan itu diperuntukkan untuk projek lapangan terbang baru dan di zaman menteri besar manakah tanah itu diambil oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP)?

"Kenapa diambil keputusan untuk menjualnya dan zaman pemerintahan siapakah disempurnakan jualan tersebut," soal pemimpin gabungan politik itu hari ini.

Saarani perlu mengemukakan penjelasan yang objektif dan tidak dipolitikkan daripada Saarani mengenai kontroversi ini, kata mereka.

Menteri besar itu juga digesa mendedahkan minit mesyuarat keputusan hasrat menjual dan tarikh disempurnakan transaksi, perjanjian jual-beli dan syarat-syaratnya.

"Serta nilai penjualan serta pihak konsultan yang dilantik untuk rundingan jualan," kata PH Perak.

Terdahulu, Nga membangkitkan isu penjualan tanah Seri Iskandar di DUN minggu lepas, mendakwa ia telah dijual tanpa kelulusan daripada kerajaan negeri.

Saarani kemudiannya mendakwa penjualan itu berlaku semasa era PH mentadbir Perak.

Bagaimanapun, Asmuni - yang merupakan anggota exco - berkata kerajaan negeri PH ketika itu tidak pernah membincangkan penjualan tanah Seri Iskandar.

Laporan telah dibuat kepada pihak polis dan SPRM berhubung perkara itu.

Saarani berkata dia akan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

Jelasnya, keputusan pembatalan kelulusan perancangan itu akan diserahkan kepada Majlis Daerah Perak Tengah.

Pun begitu, Adun Keranji Chong Zhemin berkata menteri besar tidak sepatutnya 'cuci tangan' daripada perkara itu, dan sebenarnya mempunyai kuasa untuk membatalkan kelulusan perancangan berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS