Peraturan ketat untuk melindungi pekerja domestik atau amah Indonesia, adalah termasuk gaji minimum RM1,500, yang akan dikenakan ke atas majikan Malaysia, menurut memorandum persefahaman (MOU) 1 April yang dimeterai antara Jakarta dan Kuala Lumpur.
Menteri Sumber Manusia M Saravanan sebelum ini mengeluarkan kenyataan dengan ringkasan kandungan MOU itu tetapi Malaysiakini hari ini berjya mendapatkan dokumen lengkap itu yang dikongsi oleh sumber industri di Jakarta, Indonesia.
Menurut MOU itu, gaji perlu dibayar terus ke akaun bank pekerja selewat-lewatnya pada 7 hari bulan, dengan bonus sebulan selepas kontrak selesai dan kenaikan gaji jika kontrak diperbaharui selepas dua tahun.
Jika gaji tidak dibayar tepat pada masanya, tambahan 5 peratus daripada jumlah gaji yang belum dibayar akan ditambah sebagai pampasan dan kegagalan berterusan untuk membayar gaji selama dua bulan berturut-turut akan memberi hak kepada pekerja rumah untuk menamatkan kontrak pekerjaan.
Menurut dokumen itu, penamatan kontrak pekerjaan juga tidak akan melepaskan majikan daripada kewajipan kontrak mereka untuk membayar gaji tertunggak dan pampasan akan ditentukan oleh mahkamah.
Ketetapan gaji minimum amah itu berbeza dengan pendirian Malaysia mengenai perkara berkenaan pada tahun lepas.
Pada Disember 2021, Saravanan berkata dia telah memaklumkan rakan sejawatannya di Indonesia bahawa Malaysia tidak bersetuju menetapkan gaji minimum sebanyak RM1,500 untuk pembantu rumah.
“Bagaimanapun, saya bersetuju gaji bermula dari RM1,200… bermakna jika majikan sanggup membayar RM1,500, kerajaan tidak ada bantahan,” dia dilaporkan sebagai berkata.
Bagaimanapun, jumlah itu sejajar dengan gaji minimum terkini RM1,500 untuk semua pekerja mulai Mei, seperti yang diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaacob pada Mac.
Rehat sepuluh jam sehari
Mengikut dokumen tersebut, walaupun MOU itu menetapkan gaji minimum yang perlu dibayar, gaji kontrak terakhir setiap pekerja akan dimuktamadkan melalui rundingan antara agensi pekerjaan swasta Malaysia (APS) yang mewakili majikan dan rakan sejawatannya dari Indonesia yang menghantar pekerja.
MOU ini juga menetapkan bahawa setiap APS boleh mempunyai perjanjian perkongsian dengan tidak lebih daripada 10 agensi pengambilan berdaftar Indonesia.
Majikan juga mesti membantu pembukaan akaun bank untuk pembantu rumah mereka dan mengeluarkan slip gaji.
Semua kontrak akan diserahkan kepada Kedutaan Indonesia oleh agensi pekerjaan masing-masing untuk pengesahan.
Selain syarat gaji yang ketat, MOU itu juga menetapkan bahawa syarat kerja dan hari cuti bagi setiap pembantu rumah Indonesia berkenaan.
Ini termasuk cuti sakit, cuti tahunan, hari kelepasan dan waktu bekerja setiap hari.
Pekerja juga mesti diberi sekurang-kurangnya 10 jam rehat setiap hari, termasuk tujuh jam tanpa gangguan. Jika terpaksa bekerja pada hari rehat, mereka perlu diberi pampasan.
Pengasuh tidak perlu memasak
Menurut dokumen itu, pekerja domestik Indonesia juga akan dibahagikan kepada tiga kategori - pembantu rumah dan tukang masak keluarga, pengasuh kanak-kanak serta penjaga warga emas. Seseorang itu tidak boleh diarahkan untuk melakukan kerja bagi ketiga-tiga kategori tersebut.
Oleh itu, seorang pengasuh kanak-kanak atau penjaga warga emas tidak akan memasak atau melakukan kerja-kerja pembersihan tetapi hanya menjaga kesejahteraan dan keselamatan kanak-kanak berumur bawah lima tahun atau orang tua.
Skop kerja pembantu rumah dan tukang masak keluarga pula adalah hanya melakukan kerja-kerja pembersihan, menyeterika dan memasak. Ia tidak termasuk penjagaan haiwan peliharaan keluarga, mencuci kereta atau berkebun.
Menurut dokumen itu, isi rumah lazim untuk seseorang pembantu rumah tidak harus melebihi enam orang ahli keluarga yang berumur lebih dari lima tahun dan tanpa individu yang memelukan keperluan khas.
MOU itu, yang belum didedahkan kepada umum, ditandatangani ketika majikan Malaysia mendesak supaya kerajaan membenarkan pengambilan pekerja domestik asing.
Pengambilan pekerja asing digantung semasa sempadan negara ditutup pada 2020, bagi mengekang penularan wabak Covid-19.