Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Darurat iklim: Bertindak sekarang sebelum terlambat - PBB

GLOBAL | Pengurangan drastik terhadap penggunaan bahan api fosil (seperti petroleum, arang batu dan gas asli). Menanam hutan dan kurang makan daging.

Ini cuma sebahagian daripada tindakan yang diperlukan dalam dekad ini untuk membendung pemanasan global kepada 1.5 darjah Celsius di atas suhu praindustri, kata satu laporan utama oleh agensi sains iklim PBB.

Walaupun amaran perubahan iklim dikeluarkan oleh Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) sejak 1990, pelepasan global terus melonjak dalam dekad yang lalu, malah mencapai tahap tertinggi dalam sejarah.

Hasilnya, pelepasan global berada di landasan untuk melepasi had pemanasan 1.5 darjah C yang dibayangkan dalam Perjanjian Paris 2015 dan mencapai kira-kira 3.2 darjah Celcius menjelang akhir abad ini.

"Kami meninggalkan COP26 di Glasgow dengan keyakinan yang cukup naif, berdasarkan janji dan komitmen baru," kata Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres (gambar, bawah) dalam laporan terbit pada Isnin itu.

"Tetapi ikrar iklim semasa (masih) membawa maksud akan berlaku peningkatan 14 peratus dalam pelepasan.

“Dan kebanyakan pihak utama yang melepaskan karbon tidak mengambil langkah diperlukan untuk memenuhi janji yang tidak mencukupi ini," katanya lagi.

Pada ketika ini, hanya pengurangan dalam pelepasan karbon secara besar-besaran dalam dekad ini merentasi semua sektor - daripada pertanian dan pengangkutan kepada tenaga dan bangunan - boleh mengubah keadaan, kata laporan itu.

Walaupun begitu, kerajaan juga perlu meningkatkan usaha untuk menanam lebih banyak pokok dan membangunkan teknologi yang boleh menghilangkan sebahagian daripada karbon dioksida yang sudah ada di atmosfera selepas lebih daripada satu abad aktiviti perindustrian.

"Masanya sekarang atau tidak (akan ada) sama sekali," kata Pengerusi Bersama Laporan IPCC Jim Skea pada satu kenyataan.

Laporan PBB mengenai perubahan iklim ini merupakan yang terakhir dalam siri tiga bahagian oleh IPCC, dengan kitaran semakan seterusnya tidak dijangka sekurang-kurangnya lima tahun lagi.

Drama dan kelewatan

Laporan IPCC terdahulu membincangkan penemuan terkini dalam sains perubahan iklim serta cara dunia menyesuaikan diri dengan dunia yang lebih panas.

Sementara itu, laporan terkini pada Isnin menumpukan langkah membendung pelepasan gas rumah hijau, yang menjadi pertikaian sesetengah kerajaan.

Sesetengah saintis menyifatkan proses itu sebagai "menyakitkan", dan IPCC terpaksa menangguhkan penyiaran awam laporan itu selama enam jam pada hari Isnin.

Kelulusan akhir ringkasan utama laporan untuk penggubal dasar - yang perlu dimeterai semua negara - melewati sesi lebih masa sepanjang hujung minggu ketika pegawai sesetengah kerajaan berdalih mengenai pemilihan kata-kata dalam laporan itu.

"Negara yang berbeza mempunyai kepentingan yang berbeza," kata pengarang bersama IPCC dan saintis iklim Jan Minx.

"Semua orang mahu memastikan bahawa kebimbangan mereka ditangani... tetapi saintis mempunyai kata-kata terakhir."

Gambar fail, solar sebagai tenaga mampan.

Selepas laporan IPCC itu dikeluarkan, Ketua Dasar Iklim EU Frans Timmermans menggesa penggubal dasar Eropah untuk menggandakan usaha untuk menamatkan pergantungan kepada arang batu, gas dan minyak Rusia.

"Perang di Ukraine hanya meningkatkan perkara yang menjadi keutamaan kami. Kerana sekarang tiada siapa yang boleh mencari alasan, pada pandangan saya, untuk tidak mempercepatkan penamatan penggunaan bahan api fosil yang berlebihan," kata Timmermans kepada Parlimen Eropah.

"Kami tidak boleh terus mengimport sejumlah besar bahan api fosil," katanya lagi.

Kurangkan permintaan

Walaupun laporan IPCC yang lalu mengenai pengurangan pelepasan karbon cenderung memberi tumpuan kepada janji alternatif bahan api yang mampan, seperti tenaga suria dan angin, namun laporan baru itu secara unik menyerlahkan keperluan untuk mengurangkan permintaan pengguna.

"Kebanyakan orang menganggap pengurangan permintaan boleh dicapai melalui peningkatan kecekapan," kata ahli antropologi ekonomi dari London School of Economics, Jason Hickel.

"Tetapi bukti yang kami ada sekarang menunjukkan bahawa perkara itu dengan sendirinya tidak akan mencukupi," katanya.

Tanpa mengurangkan permintaan penggunaan tenaga, kata laporan itu, adalah hampir mustahil untuk mengurangkan pelepasan dengan cepat menjelang akhir dekad ini untuk mengekalkan pemanasan di bawah 1.5 darjah C.

"Menerima gaya hidup penggunaan yang lebih rendah adalah hampir satu-satunya langkah dasar bertindak pantas yang kami sarankan untuk mencegah kesan buruk perubahan iklim," kata Daniel Quiggin, seorang penyelidik alam sekitar di institut dasar UK Chatham House.

"Mitigasi dari sudut permintaan" ini, seperti yang dinyatakan dalam laporan itu, meletakkan tanggungjawab kepada kerajaan untuk meluluskan dasar yang memberi insentif kepada pilihan penggunaan tenaga yang mampan.

Satu contoh ialah melabur dalam lorong basikal dan pengangkutan awam sambil menyekat kereta dari masuk ke pusat bandar untuk mempengaruhi sokongan awam.

Tindakan sedemikian mungkin memperlahankan pertumbuhan ekonomi dalam beberapa mata peratus untuk jangka pendek, kata laporan itu.

Tetapi kerugian itu, katanya akan diatasi oleh faedah ekonomi daripada mencegah perubahan iklim yang melampau.

Sedekad yang lalu, pengurangan permintaan tenaga adalah "tidak sesuai dari segi politik," kata Quiggin.

"Tetapi sekarang, dengan pandemik dan krisis Rusia-Ukraine, kita melihat ... permulaan iltizam politik.

"Apabila orang benar-benar menghargai skala krisis dan masalah yang boleh ditimbulkannya, mereka sanggup mengurangkan penggunaan tenaga," jelasnya.

- Reuters


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS