Kualiti tablet percuma yang diberikan kepada pelajar universiti keluarga B40, mengikut program PerantiSiswa berjumlah RM450 juta dipersoalkan oleh netizen dan ahli-ahli politik.
Ia susulan tindakan Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa yang mempamerkan tablet berkenaan dilengkapi dengan papan kekunci dan stylus, semalam
Dia berkata kementeriannya sedang berusaha keras untuk memastikan portal untuk permohonan tablet tersebut siap dan menjangkakan permohonan untuk mendapatkannya akan dibuka pada 15 April ini.
“Urusan perolehan juga sedang di urus oleh K-KOMM dan MOF,” ciapnya di Twitter semalam.
Sebagai respons balas kepada ciapan Annuar itu, beberapa warganet meminta dia mendedahkan spesifikasi tablet berkenaan.
“Janganlah bagi laptop cap ayam lagi YB, make sure contractor supplier tu buat kerja betul bukan ambil 500% margin,” tulis seorang pengguna Twitter.
Manakala ada juga yang mempersoalkan kualiti spesifikasi peranti tersebut.
“Spec itu spec ini. Harap tak meletup je,” soal salah seorang pengguna.
“Ia merupakan jenama tablet dari China, ditambah pula dengan papan kekunci yang murah, kamu boleh dapatkan kedua-duanya di Shopee,” dakwa seorang lagi pengguna.
Ada juga yang mencadangkan agar Annuar menggantikan dengan peranti yang lebih berkualiti berbanding yang ditawarkan.
“Salam. Daripada beli tablet android yang murah ni, lebih baik bagi students notebook.
“Notebook boleh di upgrade dan windows pun akan sentiasa di updated. Tablet ni tak akan dapat updates and in a year or two akan jadi outdated and masuk sampah. Baik bagi something yang can last long,” kata pengguna tersebut.
Naib Presiden Muda Lim Wei Jiet pula meminta kerajaan untuk bersikap telus berhubung proses perolehan tablet-tablet tersebut.
“Tak boleh ke kerajaan berikan saja komputer riba yang berkualiti dari jenama yang dikenali? Tender yang terbuka dan telus. Beli dengan pukal. Runding untuk harga yang baik. Boleh jimatkan kos yang banyak.
“Susah sangat ke? Kamu tak boleh salahkan mereka yang berburuk sangka,” ciapnya.
Lebih baik beri komputer riba
Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir pula mempersoalkan mengapa kerajaan memberikan tablet kepada pelajar dan bukannya komputer riba.
“Saya tanya butiran dan syarikat pembekalnya di Parlimen bulan lepas, tapi Annuar jawab bahawa pembekal tersebut belum dimuktamadkan lagi. Demi kebertanggungjawaban, kami mahukan maklumat ini,” katanya.
Sebelum ini, portal teknologi Soyacincau melaporkan bahawa jenama tablet tersebut masih belum dikenalpasti tetapi papan kekuncinya kelihatan seperti papan kekunci OEM Bluetooth yang boleh dibeli dalam talian dengan harga kurang daripada RM100.
Apabila ditanya mengenai spesifikasi tablet percuma itu, Annuar tidak memberikan jawapan yang jelas.
“Tunggu. Perolehan itu masih dalam proses dan ia akan dimuktamadkan oleh Kementerian Kewangan. Semua faktor telah diambil maklum,” katanya kepada Malaysiakini.
Program PerantiSiswa itu diumumkan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz ketika pembentangan Belanjawan 2022 yang memaklumkan bahawa tablet percuma akan diberikan kepada 600,000 pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40).
Sementara itu, Annuar dalam ciapannya di Twitter hari ini berkata proses perolehan secara tender terbuka untuk Program Peranti Siswa masih berjalan.
“Seperti yang saya maklumkan foto di tweet saya hanyalah sekadar hiasan.
“KKMM komited untuk menyediakan peranti yang berkualiti dan daripada jenama yang diyakini pengguna,” ciapnya.