Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Penjual mercun, bunga api kantoi helah dihidu polis

Tindakan seorang pemuda menyembunyikan sejumlah mercun dan bunga api sebelum dijual pada masa yang dirasakan sesuai terbantut apabila helahnya itu berjaya dikesan pihak berkuasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam semalam, sepasukan anggota dan pegawai Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) mengesan serta menahan sebuah kereta jenis Perodua Kelisa dipandu dalam keadaan mencurigakan di Pasir Mas, Kelantan.

Pegawai Pemerintah PGA7 Supt Azhari Nusi berkata pemeriksaan ke atas kenderaan dipandu pemuda berusia 22 tahun itu mendapati terdapat pelbagai jenis mercun dan bunga api yang disembunyikan.

Katanya barang-barang itu diletakkan dalam karung guni dan kotak di bahagian tempat duduk belakang serta di dalam but kereta terbabit.

Menurutnya, siasatan lanjut polis ke atas individu tersebut membawa kepada serbuan kedua di sebuah stor bersebelahan premis kediaman keluarga suspek di Kampung Kenjing Repek, Pasir Mas, kira-kira jam 11 malam.

"Dalam serbuan tersebut, kami berjaya menjumpai pelbagai jenis mercun dan bunga api pelbagai jenama yang disembunyikan di dalam stor berkenaan.

"Kesemua mercun yang dirampas dipercayai dibawa masuk dari Thailand dan dipasarkan di sekitar Pasir Mas, Kelantan atas faktor permintaan yang tinggi menjelang musim perayaan," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Azhari berkata, secara keseluruhan hasil daripada serbuan dan tangkapan yang dilaksanakan pihaknya berjaya menahan seorang suspek dan turut merampas sebuah Perodua Kelisa, 40 bungkusan mercun dan 1,208 kotak mercun dan bunga api dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM49,692.

"Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS