Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PH beri jaminan 90 MP akan sokong RUU antilompat parti
Diterbitkan:  Apr 5, 2022 2:46 PM
Dikemaskini: 6:46 AM

PH memberi jaminan kesemua 90 ahli parlimennya akan menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.

Majlis Presiden PH berkata demikian dalam kenyataan selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pagi tadi.

"Pimpinan utama PH telah mengadakan satu pertemuan bersama perdana menteri pagi ini bagi mendapatkan penjelasan berhubung status pembentangan RUU Pindaan Perlembagaan Persekutuan (Anti Lompat Parti) yang dijadualkan pada 11 April 2022.

"Perdana menteri telah memberi komitmen bahawa tidak ada perubahan kepada notis mesyuarat persidangan khas Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 11 April 2022 sepertimana yang telah diedarkan kepada ahli-ahli parlimen.

"Majlis Presiden PH memberi komitmen penuh bahawa kesemua ahli parlimen PH akan memberi sokongan bagi tujuan meluluskan Pindaan Perlembagaan ini," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden PKR merangkap Pengerusi PH, Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Madius Tangau.

Undang-undang anti lompat parti dan had penggal bagi perdana menteri adalah syarat yang ditetapkan dalam memorandum persefahaman (MoU) Ismail Sabri dengan PH.

Undang-undang anti lompat parti sekali lagi diperkatakan selepas Langkah Sheraton pada Februari 2020, yang mengakibatkan pertukaran kerajaan persekutuan dan beberapa pentadbiran negeri.

Pada 24 Mac, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar RUU itu akan dibentang pada Sidang Khas Parlimen yang dijadualkan pada 11 April ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS