Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Data sulit majikan M'sia jadi hak eksklusif portal pengambilan kerja swasta

Terma dan syarat dalam portal pengambilan pekerja domestik Kementerian Sumber Manusia (MOHR), MyOCS.com.my menetapkan bahawa 3S Malaysia Sdn Bhd akan menjadi pemilikan tunggal dan eksklusif kandungan MyOCS.

Itu bermakna syarikat terbabit mendapat turut mendapat hak ke atas semua harta intelek dan hak proprietari, hak milik dan kepentingan yang wujud di dalamnya .

Menurut pemfailan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pemegang saham majoriti 3S Malaysia Sdn Bhd ialah 3S Asia Sdn Bhd yang memiliki 44 peratus kepentingan syarikat tersebut.

3S Asia, yang sifat perniagaan berdaftarnya digambarkan sebagai "syarikat induk", dimiliki enam individu yang namanya dalam pemfailan SSM disertakan dengan nombor pasport dan bukannya nombor kad pengenalan - menunjukkan bahawa kesemua mereka adalah warga asing.

Mereka ialah Jimmy Udjaja, Nguyen Thi Xuan Trang, Dennis Kuan Jing Xuan, Kristianto Toh, Tjong Chun Fuk dan Farai Tady Effendy.

Ia juga menyatakan bahawa sifat perniagaan 3S Malaysia didaftarkan sebagai "kursus pembangunan peribadi/motivasi" dan tiada apa-apa yang menunjukkan pembinaan atau pengurusan portal pengambilan pekerjaan dalam talian atau apa-apa kerja berkaitan IT.

Syarikat swasta ini tidak mempunyai alamat perniagaan berdaftar.

Malaysiakini melaporkan semalam bahawa 3S Malaysia Sdn Bhd juga dikaitkan dengan agensi pekerjaan swasta (APS) berdaftar kerajaan yang menunjukkan konflik kepentingan.

Konflik kepentingan

Malaysiakini menghubungi Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok yang mempersoalkan mengenai penglibatan 3S Malaysia Sdn Bhd dan kementerian di parlimen bulan lalu.

Setelah tidak menerima jawapan lisan atau bertulis, dan setelah mengetahui perkembangan terbaru ini, Kok berpendapat soalan dibangkitkannya “hampir memiliki kebenaran” dan meminta Menteri Sumber Manusia M Saravanan untuk memberikan jawapan.

Apa perkara dikongsi oleh majikan dan agensi pekerjaan di portal MyOCS

Menurut Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sumber Manusia Malaysia (Pusma), Zarina Ismail, dalam kes isi rumah pasangan yang mempunyai empat anak, mereka perlu mengemukakan kad pengenalan dan gambar peribadi masing-masing, penyata cukai, slip gaji selama tiga bulan dan sijil kelahiran anak-anak.

“Mereka juga akan menyerahkan sijil nikah, gambar rumah mereka, gambar jalan yang mereka diami, bil utiliti dan gambar bilik yang akan digunakan oleh pembantu rumah yang dimaksudkan.

"Sekiranya warga emas tinggal bersama mereka, majikan perlu mengemukakan sijil kelahiran dan kad pengenalan warga emas untuk membuktikan hubungan mereka," jelasnya.

Zarina Ismail

Portal diubah hala ke URL baru

MyOCS.com.my hanya boleh diakses semasa pendaftaran untuk log masuk, yang memerlukan pengguna bersetuju menerima terma dan syarat (T&C) mereka.

Bagaimanapun, walaupun disebutkan sebagai T&C, di bawah bahagian About Us, MOHR menggambarkan portal itu "dibangunkan oleh kementerian" dan akan "bertindak sebagai portal untuk pengambilan pembantu rumah asing".

Pada 3 Mac tahun ini, Malaysiakini melaporkan berdasarkan maklumat daripada sumber industri bahawa portal dalam talian dengan URL, 3sMalaysia.com, akan menggantikan peranan Sistem Pengambilan Berpusat Pekerja Asing (FWCSM).

Portal itu adalah untuk menguruskan Malaysia One-Channel-System (MyOCS) yang merupakan keseluruhan proses pengambilan pekerjaan di pihak Malaysia, melalui satu portal untuk meningkatkan akauntabiliti pihak berkepentingan terhadap kebajikan pembantu rumah Indonesia.

Berikutan laporan itu, portal 3sMalaysia.com tidak lagi boleh diakses oleh pelawat atas sebab yang tidak diketahui kerana halaman tersebut dibuka ke halaman "Error 522" yang menunjukkan bahawa pelayannya tidak boleh diakses.

Usaha terbaru Malaysiakini untuk mengakses 3sMalaysia.com pada 1 April telah diubah hala ke URL baharu – MyOCS.com.my .

Banyak percubaan untuk mendaftar dalam portal MyOCS.com.my, yang kini dikenali sebagai portal MyOCS.com.my oleh Malaysiakini dan anggota agensi pekerjaan berdaftar kerajaan tidak membuahkan hasil, menunjukkan ia mula tidak berfungsi sebagai portal pengambilan pekerja.

Sementara itu, Malaysia dan Indonesia telah menandatangani memorandum persefahaman mengenai penggajian dan perlindungan pembantu rumah yang telah lama tertangguh dalam satu majlis rasmi pada 1 April di Jakarta.

Bagaimanapun, sejak ditandatangani, tiada pengumuman mengenai bila pengambilan akan dimulakan melalui MyOCS.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS