Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAP S'wak bincang kerjasama dengan parti pembangkang selain PH
Diterbitkan:  Apr 3, 2022 6:18 PM
Dikemaskini: 10:18 AM

DAP Sarawak akan mengadakan pertemuan di Sibu pada Selasa depan untuk membincangkan kemungkinan kerjasama dengan parti Pembangkang lain di Sarawak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata pengerusinya Chong Chieng Jen.

Chong berkata DAP Sarawak memiliki autonomi penuh untuk membentuk kerjasama dengan mana-mana parti politik di negeri itu meskipun masih kekal dalam Pakatan Harapan.

“Daripada keputusan Pilihan Raya Sarawak 2021, jelas terdapat keperluan untuk parti-parti pembangkang utama di Sarawak bekerjasama untuk mengambil alih daripada GPS (Gabungan Parti Sarawak),” kata ADUN Padungan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak lalu, PH merekodkan prestasi buruk apabila DAP hanya memenangi dua daripada 24 kerusi yang ditandinginya manakala PKR tewas di semua 28 kerusi.

Amanah yang bertanding di lapan kerusi gagal memenangi sebarang kerusi.

Keputusan PRN itu menyaksikan GPS membentuk kerajaan negeri dengan majoriti besar selepas menang 76 daripada 82 kerusi, manakala pembangkang memperoleh enam kerusi melalui DAP dan PSB.

“Tidak dinafikan, sentimen kedaerahan begitu kuat pada Pilihan Raya Sarawak 2021.

“Bagaimanapun, keputusan dalam Pilihan Raya Sarawak juga menunjukkan bahawa perjuangan semata-mata atas politik kedaerahan tidak akan membawa parti ke mana-mana,.

“Pada Pilihan Raya Sarawak lalu, PSB bertanding 70 kerusi tetapi menang 4 kerusi manakala DAP bertanding 26 kerusi dan menang 2 kerusi.

"Calon-calon semua parti pembangkang tempatan yang lain kalah dengan kebanyakan mereka hilang wang deposit pilihan raya," katanya.

Chong berkata, walaupun GPS mencatatkan kemenangan besar namun gabungan itu terus bekerjasama dengan parti-parti di peringkat nasional supaya memiliki pengaruh di peringkat persekutuan.

“Oleh itu, dalam menyusun strategi untuk PRU, sementara kita menangani sentimen kedaerahan dan isu parti tempatan, kepentingan parti nasional yang berlandaskan nasional tidak boleh diabaikan.

"Ini lebih-lebih lagi apabila kita bercakap tentang politik negara dalam pilihan raya umum," kata ahli parlimen Stampin dan bekas timbalan menteri itu.

“Memandangkan semua ahli jawatankuasa DAP Sarawak adalah rakyat Sarawak dan mempunyai autonomi dalam hal-hal di Sarawak, DAP Sarawak adalah parti tempatan seperti mana-mana parti tempatan lain, tetapi dengan kelebihan mempunyai platform nasional dan sokongan parti nasional yang utuh.

“Hanya melalui platform nasional inilah kita boleh mengubah dan membentuk dasar negara dan masa depan negara kita,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS