Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
30,000 terjejas gangguan bekalan air di K T'ganu sejak dua hari lalu

Persediaan umat Islam di 30 kawasan sekitar Kuala Terengganu bagi menyambut Ramadan terjejas akibat gangguan bekalan air yang berlarutan sejak awal pagi dua hari lalu.

Ia berikutan paip pecah di Pulau Kambing yang melibatkan tangki Bukit Kecil sehingga menjejaskan bekalan kepada 30,000 akaun pengguna.

CEO Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd Abdul Karim Endut berkata bekalan air itu terganggu apabila paip berukuran 413 milimeter pecah dua hari lalu, namun kerja-kerja pembaikan siap dilaksanakan pada pukul 12 tengah malam semalam.

“Bagaimanapun paip kedua berukuran 600 mm yang berada kira-kira 50 meter dari jarak paip pertama pula telah dikesan pecah hari ini (semalam). Kerja-kerja pembaikan paip berukuran 600 mm itu masih berjalan sehingga kini dan dijangka bekalan air pulih sepenuhnya di kawasan yang terjejas pada pukul 7.30 malam esok (hari ini).

“Sehingga kini enam lori tangki air dan 13 tangki statik sedang digerakkan secara berperingkat ke kawasan-kawasan terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini," katanya semalam.

Sementara itu seorang kakitangan awam Nurasikin Awang, 45, berkata gangguan bekalan air itu disedari sejak awal pagi dua hari lalu dan sehingga kini masih dia belum mendapat bantuan bekalan air dari mana-mana pihak.

“Rasa tak seronok nak sambut Ramadan. Nak memasak, membersihkan rumah semuanya perlu menggunakan air yang banyak. Saya terpaksa beli air air minuman dan berjimat cermat menggunakannya.

"Harap sangatlah bekalan air ni pulih secepatnya dan tidak berlarutan dalam tempoh yang lama kerana air tangki pun dah habis digunakan semalam (dua hari lalu). Nak sahur nanti pun mungkin beli sahaja lauk kerana itu sahaja langkah praktikal," katanya yang tinggal di Kampung Bukit Tumbuh dekat Kuala Nerus.

Seorang lagi penduduk dari Taman Pmint Seberang Takir, Nurul Syasya Nabila Karim, 32, berkata dia berdepan kesukaran mencari air minuman kerana banyak stok di kedai runcit telah habis berikutan gangguan bekalan air.

"Saya tinggal di sini bersama ibu bapa dan enam beradik yang lain. Kami terpaksa ke rumah nenek di Losong untuk mandi dan mengambil stok air untuk kegunaan membersihkan diri pagi esok (hari ini)," katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS