Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
39 MP lompat parti sejak 2018, kata menteri

Seramai 39 ahli parlimen di negara ini telah melompat parti sejak 2018 sehingga kini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Katanya tindakan melompat parti juga telah membawa kepada ketidakstabilan politik negara malah negara telah menyaksikan pertukaran tiga orang perdana menteri dalam satu penggal parlimen.

"Ini tidak mendatangkan kestabilan politik di negara kita, apabila politik tidak stabil maka ekonomi juga sukar dijaga dan semasa kita berhadapan dengan Covid-19 ini (ketidakstabilan) jadi masalah besar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat Projek Benteng Muara Tebas di Dewan Kampung Muara Tebas, di Kuching, hari ini.

Oleh sebab itu Wan Junaidi menjelaskan kerajaan telah merangka Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti 2022 yang mengambil masa selama lima bulan.

"Pada peringkat ini ada tidak bersetuju dan ada yang bersetuju (dengan RUU terbabit) tapi jika jemaah menteri bersetuju pada 6 (April) nanti, satu persidangan khas telah ditetapkan pada 11 April (ini) bagi kita bahaskan RUU itu," katanya.

Pada 24 Mac lalu, Wan Junaidi memaklumkan keputusan Perdana Menteri supaya satu Sidang Khas Dewan Rakyat bagi membentangkan rang undang-undang itu yang akan diadakan pada 11 April ini.

Namun, ia tertakluk kepada kelulusan mesyuarat jemaah menteri yang akan diadakan pada 6 April ini, katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS