Seorang penjaja makanan yang tidak divaksin di Ranau, Sabah, berjaya memasukkan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam tindakan undang-undang dikemukakannya bagi mencabar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang dikuatkuasakan pihak berkuasa tempatan.
KKM kini menjadi responden kedua dalam permohonan semakan kehakiman Naomi @ Neomi Francis. Majlis Daerah Ranau merupakan responden pertama.
Pada 27 Sept tahun lalu, The Vibes melaporkan Naomi memfailkan semakan kehakiman itu selepas menerima surat amaran daripada Majlis Daerah Ranau supaya mendapatkan suntikan vaksin dalam tempoh seminggu jika tidak mahu didenda antara RM2,000 hingga RM50,000.
Ketika dihubungi petang ini, peguam Marcel Jude mengesahkan bahawa Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu semalam membenarkan permohonan untuk meminda semakan kehakiman bagi menambah kementerian sebagai responden kedua.
“Semalam, hakim Ismail Brahim membenarkan permohonannya (Naomi) untuk menambah KKM ke dalam semakan kehakiman.
"Ini adalah satu langkah penting kerana KKM kini menjadi pihak dalam prosiding yang pada awalnya hanya menyasarkan majlis daerah (Ranau)," kata Marcel.
Peguam itu menambah bahawa mahkamah akan menetapkan tarikh bagi sesi pendengaran semakan kehakiman itu.
Pada 7 Nov tahun lepas, The New Straits Times melaporkan bahawa Mahkamah Tinggi memberikan kebenaran kepada Naomi untuk meneruskan semakan kehakimannya.
Menerusi semakan kehakiman itu, Naomi mendakwa semua sekatan Covid-19 ke atas individu yang tidak divaksin melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Lelaki berusia 56 tahun itu menegaskan bahawa dia mewakili semua pihak yang ingin mempertahankan kebebasan mereka untuk menerima atau menolak vaksin tanpa berdepan sebarang diskriminasi.
Dia mendakwa bahawa Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan menyatakan tiada seorang pun boleh dilucutkan nyawa atau kebebasan peribadinya kecuali mengikut undang-undang, dan Perkara 8 yang menyatakan semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan undang-undang yang sama.
“Berdasarkan artikel tersebut, kerajaan Sabah melanggar Perlembagaan Persekutuan dengan tidak memberikan kebebasan kepada rakyat – sama ada mereka mahu mendapatkan vaksin atau tidak, mendiskriminasi antara individu yang divaksin dan yang tidak divaksina dengan menyediakan lebih banyak akses kepada mereka yang divaksin dan menafikan akses kepada mereka yang belum mendapatkannya.
“Saya hanya mahu berjuang untuk ini; Saya mahu kerajaan berhenti mengenakan peraturan yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya seperti dipetik.
Naomi berkata lagi, dia berisiko kehilangan perniagaan makanan dan katering jika dipaksa membayar denda RM50,000.
[Baca berita asal]