Bekas pengerusi 1MDB Mohd Bakke Salleh hari ini berkata dia berasa ragu berkenaan cadangan usaha sama antara syarikat itu dengan syarikat Abu Dhabi, Petrosaudi International (PSI).
Namun Mohd Bakke berkata Najib pada masa itu menerusi panggilan telefon memberitahunya agar tidak terlalu menghabiskan banyak masa melihat transaksi lama dan fokus kepada cadangan usaha sama itu.
Najib memberitahu perkara itu setelah dia selesai bercakap dengan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, katanya lagi.
Dia berkata demikian dalam keterangannya ketika perbicaraan kes pinda audit 1MDB terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas CEO 1MDB, Arul Kanda Kandasamy di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Saksi pendakwaan ke-13 itu merujuk kepada mesyuarat lembaga pengarah 1MDB yang dihadirnya dan Jho Low pad 26 September 2009, di mana ahli perniagaan itu didakwa menerima panggilan telefon daripada Najib.
'Saya jumpa Jho Low di pejabat Najib'
Menjawab soalan Shafee tentang bagaimana dia ada tanggapan yang Jho Low rapat dengan Najib, Mohd Bakke berkata ia lebih daripada sekadar tanggapan.
Katanya, dia beberapa kali bertemu Jho Low di pejabat Najib ketika menjadi timbalan perdana menteri dan ketika penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA) - yang kemudiannya menjadi 1MDB.
Ketika tempoh pra-1MDB, Najib adalah timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri.
Kata Mohd Bakke lagi, ketika dia berurusan dengan Najib sebelum dia menjadi perdana menteri, dia telah bertanya tentang peranan Low dalam TIA.
Katanya, Najib mempertegas (tenang hubungan Jho Low dengannya) agar dia bekerjasama dengan Jho Low untuk mewujudkan pengurusan TIA.
Mahkamah sebelum ini diberitahu yang kehadiran Jho Low tidak direkodkan.
Dalam prosiding di depan hakim Mohamed Zaini Mazlan sebelum ini, Bakke berkata Najib tidak membalas pesanan teksnya di mana dia menyuarakan kebimbangan berhubung dakwaan sebanyak AS$700 juta dana 1MDB telah dilencongkan ke syarikat lain.
Ketika pemeriksaan balas dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah hari ini, Bakke berkata walaupun dengan kebimbangannya terhadap beberapa isu seperti penyelewengan AS$700 juta itu, Najib memberitahunya agar tidak terlalu menghabiskan banyak masa terhadap transaksi yang telah berlaku.
"PM cakap dengan saya 'tak perlu guna banyak masa lihat transaksi lepas' dan 'hanya tumpu cadangan usaha sama' memandangkan perkara itu telah dibincangkan untuk beberapa waktu, dan kami perlu buat keputusan secepat mungkin," dakwanya.
Katanya lagi, ekoran kata-kata Najib itu, dia berasa selesa untuk menyampaikannya kepada ahli lembaga pengarah lain agar meneruskan usaha sama 1MDB-PSI.
Perbicaraan bersambung pada 12 April ini.
Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan beberapa pindaan ke atas laporan akhir audit 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada PAC bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.
Tertuduh bersama Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan berkenaan.
Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesahan itu.
Pihak pendakwaan berhujah bahawa keputusan untuk membuat pindaan diputuskan semasa mesyuarat pada 24 Feb 2016, di pejabat ketua setiausaha negara ketika itu, Ali Hamsa.
Pindaan iu didakwa dilakukan untuk mengeluarkan atau mengubah bahagian tertentu laporan audit 1MDB, termasuk menggugurkan isu kehadiran Low Taek Jho (Jho Low) pada mesyuarat lembaga pengarah dana pelaburan negara itu.
Isu lain yang didakwa digugurkan daripada laporan audit 1MDB ialah dua penyata kewangan 2014 yang bercanggah bagi firma tersebut.
Selain Ali dan Arul Kanda, mereka yang hadir pada mesyuarat itu ialah Ambrin, bekas pegawai NAD, Saadatul Nafisah Ahmad Bashir, bekas ketua setiausaha sulit Najib, Shukry Salleh, dan wakil peguam negara ketika itu, Dzulkifli Ahmad.
Pihak pembelaan berhujah bahawa tiada salah laku dengan pindaan tersebut kerana ia dibuat terhadap laporan yang belum muktamad sebelum dibentangkan di Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada Mac 2016.