PULASAN | Fikah sudah berbulan-bulan menjadi tulang punggung kepada keluarganya. Setiap kali ada peluang dan ruang, dia akan keluar dari rumahnya untuk bekerja mencari wang. Ada empat mulut yang perlu disuap.
Bukan dia tidak ada suami. Ada. Suaminya dulu bekerja, tetapi selepas itu terbabit dalam kemalangan. Ketika keadaan belum pulih dan berjalan pun terpaksa bertatih-tatih, tiba-tiba si suami menjadi lebih lemah. Keadaan kesihatannya semakin merosot.
Kemudian doktor mendapati lelaki terbabit diserang strok. Maka terlantarlah dia di rumah sedangkan mereka ada dua anak yang perlu dibesarkan.
Dalam keadaan si ayah yang uzur begitu, mereka perlu membuat pilihan sukar. Akhirnya si isteri itulah yang bekerja mencari kerja mengambil upah di sana sini.
Anak perempuan mereka sepatutnya tahun ini belajar di tingkatan satu, manakala anak keduanya di tahun empat sekarang. Keadaan yang menghimpit memaksa si kakak berkorban dan membiarkan adiknya saja terus bersekolah.
Anak perempuan pasangan tersebut perlu selalu ada di rumah untuk menjaga bapanya, manakala Fikah ke sana dan sini mencari rezeki.
Ini bukan sebuah romantisme popular tentang kemiskinan. Ia adalah suatu realiti yang sedang berlaku. Dan mereka sudah tentu bukan satu-satunya keluarga yang berdepan himpitan hidup di kawasan bandar dan pinggir bandar.
Kerana itu sangat celakalah buat sesiapa yang menganggap kisah-kisah pedih tentang sukarnya hidup pada waktu ini sebagai sebuah khayalan bagi mengkritik kerajaan. Atau sekadar alasan untuk tidak mahu belajar, juga helah untuk tidak memiliki kemudahan yang diharapkan oleh pihak sekolah, universiti atau pensyarah.
Ada jahat, ada baik
Manusia yang waras hanya perlu bersederhana dalam pemikiran untuk menilai perbezaan di antara ketegasan seorang guru dengan kejahatan mulut - dan tentunya hati - yang tergamak menghina kesusahan orang lain.
Kita sudah terlalu lama membiarkan diri disibukkan oleh hal-hal sepele, kemudian dihanyutkan oleh naratif palsu pihak yang jahat agar mengabaikan realiti busuk yang sedang dihadapi bersama, iaitu kemiskinan.
Misalnya, apabila ada pelajar yang diherdik dan dimalukan oleh gurunya, kita pun segera bercakap mengenai kebaikan hati si pendidik. Juga bercakap mengenai lembiknya generasi muda hari ini.
Bahawa kita ini hidup dalam dunia sebenar dan bukannya khayalan seperti dalam novel-novel era 1940-an terus dilupakan. Lazimnya pada semua orang jahat itu ada unsur baiknya. Paling tidak pun, secubit akan ada. Dan di sebalik kebaikan seseorang manusia, ada pula bahagian jahatnya.
Kita tidak perlu menghafal formula bagi menyiapkan satelit untuk dilepaskan di angkasa bagi memahami batas di antara tegas seorang guru dengan menghina kemiskinan seseorang.
Betul, ada kemungkinan seorang guru itu diperangkap - malah dirangsang (diprovokasi) - agar terlajak dalam tindakannya. Tetapi itu adalah isu yang berbeza. Ia perlu dipolemikkan juga, tetapi harus dalam ruang yang berbeza. Tidak bolehlah disekalikan dengan keceluparan mulut siapa pun.
Namun itu bukanlah satu-satunya masalah kita. Masalah yang lebih besar ialah, di negara ini menjadi miskin seolah-olah suatu dosa. Orang yang kesempitan akan dianggap menyusahkan, atau dilabel sebagai pemalas.
Memang ada antara mereka yang pemalas, tetapi sudah tentu bukan semua. Sebahagian yang lain kurang bernasib baik kerana memang tidak menemui ruang bagi membaiki hidup masing-masing. Selebihnya mereka menjadi mangsa kepada pelaksanaan sistem yang ada.
Membeli maaf dengan wang ringgit
Tahu-tahu sajalah bagaimana sesuatu sistem itu dijalankan di negara ini. Sejak berpuluh-puluh tahun dulu, demikianlah adanya. Bayangkanlah, jika sistem yang baik pun bercempera oleh pelaksanaan yang penuh dengan ketirisan dan pengkhianatan, apa lagi kalau sistem itu disiapkan dengan penuh ketempangan.
Seperti dikatakan di atas, menjadi miskin di negara ini adalah suatu 'dosa'. Kerana itu kalau perlu rakyat biasa-biasa ini wajib berhenti di tengah jalan untuk memberi laluan kepada orang kenamaan melintas.
Pedulilah kalau ada antara kita itu sedang bergelut dengan kecemasan dan detik di antara hidup atau mati di dalam ambulans. Orang miskin dan rakyat jelata nyawanya murah saja. Bukan mahal seperti orang kayangan.
Kemudian apabila berdepan dengan riak gelombang kemarahan orang ramai, kita pun menebus kesalahan sendiri dengan membeli jiwa rakyat. Menawarkan gaji sebulan dua kepada tabung kebajikan, contohnya.
Hal itu kerana, mereka menyangka maruah rakyat ini begitu murah dan boleh diperdagangkan. Pengakuan bersalah dan memohon maaf adalah salah satu dosa besar kepada orang kayangan.
Memanglah ada manusia yang rela maruahnya dibeli dengan harga yang murah. Malah teramat murah. Tetapi sudah tentu manusia yang merdeka tidak akan begitu.
Pada kesempatan lain kita melayan perasaan dengan hiburan yang disajikan oleh pencipta kandungan (content creator) di media sosial. Mereka menjadikan orang miskin, merempat dan kesempitan sebagai bahan untuk menarik perhatian.
Merakamkan adegan mereka menghulur pisang kepada pengawal keselamatan, misalnya. Atau membeli semua kuih jualan seorang mak cik yang kemudian menitiskan air mata kerana terharu.
Begitulah layaknya orang bawahan dan rakyat biasa seperti kebanyakan kita ini - hanya layak bertengkar sesama sendiri tentang hal-hal maha penting seperti mengenai tudung selebriti mana yang lebih cantik dan mahal, atau pelakon mana yang sedang bercinta dengan ahli korporat mana.
Pada sisi lain, kita terus ternganga mendengar kisah-kisah aneh daripada 'tuan-tuan guru' yang gemar bercerita tentang hal-hal aneh. Berjumpa nabi yang selalu datang ke surau dia, misalnya. Atau mengenai petua mengelak sekatan jalan raya.
"Kau ni, janganlah lembik sangat," kata kita kepada mereka yang mengadu diperlakukan secara tidak wajar di tempat mereka belajar, "kau kena tabah dan menjadi lelaki."
Kemudian kita pun menekan punat radio dan mendengar suara manja para deejay. Sesetengahnya sentiasa berasa lucu dan terhibur dengan jenaka yang mereka buat sendiri. Kita juga senang melayan perasaan dengan lagu kelentang kelenting kelentong sesudah leka berhiba-hibaan dengan Aiman Tino.
Pada ketika sama, orang seperti Fikah dan anak-anaknya terus kita abaikan. Maklumlah, kita ada tugas yang lebih penting iaitu memuliakan orang politik. Kerana dengan itu berkuranganlah dosa kita yang miskin ini.
AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan yang hanya mendengar radio selepas 12 tengah malam kerana ketika itu biasanya siaran tersebut bebas daripada gangguan suara juruhebah yang menjengkelkan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.