Ahli Dewan Negara Fadhlina Siddiq Sidek mengumumkan akan turut bertanding bagi jawatan ketua Wanita PKR pada pemilihan parti itu Mei ini.
Anak bekas presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Siddiq Fadzil itu membuat pengumuman berkenaan di majlis Dialog Wanita Sempena Hari Wanita Sedunia di Hotel Dorsett, Subang hari ini.
"Pascakempen secara langsung dan tidak langsung di PRN Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor, saya yakin dan percaya rakyat masih menanti-nantikan rejuvenasi di dalam struktur PKR.
"Pascapengkhianatan memperlihatkan mana-mana pemimpin yang gemar bermain politik wang dan budaya amplop akan tidak senang duduk dalam parti keramat ini.
"Saya, Fadhlina Sidek dengan ini mengumumkan untuk menawarkan diri bertanding sebagai ketua Wanita Pusat PKR di dalam pemilihan parti kali ini," katanya.
Dengan pengumuman itu, Fadhlina merupakan calon pertama mengumumkan bertanding bagi jawatan ketua Wanita PKR.
Dia dijangka dicabar oleh penyandangnya Rodziah Ismail yang disebut-sebut akan berganding dengan calon timbalan presiden Rafizi Ramli dalam pemilihan kali ini.