Bekas menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini mengulangi pendirian agar penggunaan ganja dalam bidang perubatan dibenarkan.
Dia berkata pendiriannya bahawa ia boleh dijadikan sebagai sumber rawatan alternatif dibuat berdasarkan fakta dan sains, bukannya ekoran trend atau "cakap-cakap orang".
"Sejak menjadi menteri pada 2018-2020, saya konsisten dalam menggesa kerajaan untuk membenarkan penggunaan ganja dalam bidang perubatan (medical cannabis).
"Malah, Kementerian Kesihatan di bawah bekas menteri, Dr Dzulkefly Ahmad pun ada keluarkan beberapa kenyataan tentang kesediaan KKM untuk membuka ruang kajian perubatan kanabis di Malaysia.
"Ia juga disambut dan diteruskan di bawah Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sekarang," katanya di Facebook hari ini.
Dalam hantaran itu, Syed Saddiq turut melampirkan rakaman perbahasannya di Parlimen pada Oktober 2021.
Kenyataannya itu beberapa jam selepas penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman menyebut namanya sebelum didakwa di Mahkamah Majistret, Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum 39B(2) akta sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan jika sabit kesalahan.
Sebaik tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya pagi tadi, dia meminta wartawan agar menyampaikan salam kepada Syed Saddiq dan meminta ahli Parlimen Muar itu agar "segerakan kelulusan kanabis untuk perubatan di Parlimen".
Walaupun hantaran itu merujuk kepada kes itu, Syed Saddiq berkata dia tidak mahu mengulas secara khusus dan menyerahkannya kepada proses undang-undang, tetapi hanya ingin mengulangi pendiriannya.
"Saya pernah berbahas dalam Dewan Rakyat tentang potensi perubatan kanabis jika ia dibenarkan di Malaysia.
"Lebih 40 buah negara sudah membenarkan penggunaan kanabis untuk perubatan. Nilai pasaran industri ini cecah RM60 bilion.
"Ini bukan satu tugas yang mudah tetapi saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk pastikan ada perkembangan yang baik nanti," katanya lagi.
Dalam satu ciapan di Twitter pula, dia mendoakan Yasin agar mendapat pembelaan terbaik di mahkamah.
Sebelum ini, pakar perubatan dan undang-undang menyokong usaha untuk membenarkan ganja perubatan, yang menurut mereka boleh memberikan kesan terapeutik kepada peakit.
Namun, data empirikal untuk menyokongnya setakat ini kurang jelas.
PANDUANKINI: Ganja untuk tujuan perubatan, buktinya?
Pakar undang-undang juga menggesa ganja diselia di bawah Akta Racun 1952 dan bukannya Akta Dadah Merbahaya serta menarik balik pendakwaan atau meringankan hukuman terhadap mereka yang berdepan hukuman mati kerana menggunakan ganja untuk perubatan.
Ia termasuk kes "Dr Ganja", pesara tentera Kapten (B) Amiruddin @ Nadarajan Abdullah yang sebelum ini diminta membela diri kerana menggunakan ganja untuk merawat penyakit barah.
Pada 2020, PBB tidak lagi menyenaraikan ganja dan bahan terbitannya dalam senarai dadah berbahaya, susulan syor daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), tetapi tetap menyifatkannya sebagai bahaya dan menggesa penggunaan yang bukan untuk perubatan dan saintifik dijadikan sebagai jenayah.