Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pindaan Perkara 119 bagi pastikan raja tak memihak mana-mana parti'
Diterbitkan:  Mar 31, 2022 5:46 PM
Dikemaskini: 9:51 AM

Putrajaya menjelaskan bahawa pindaan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan adalah untuk memastikan raja-raja kekal berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik.

Dalam satu kenyataan hari ini, menteri undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pindaan itu akan mengecualikan raja, pasangan dan waris mereka daripada didaftarkan secara automatik ke dalam senarai pemilih.

"Walau bagaimanapun, pilihan sama ada untuk mengundi atau tidak, tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong dengan persetujuan Majlis Raja-Raja,” kata Wan Junaidi.

Rang undang-undang untuk meminda Perkara 119 diluluskan hari ini melalui Parlimen selepas 50 daripada 58 ahli Dewan Negara mengundi menyokong rang undang-undang itu.

Rang undang-undang itu menambah Perkara 119A kepada Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa hanya Yang di-Pertuan Agong boleh, melalui warta, mengecualikan mana-mana raja dan waris mereka daripada direkodkan dalam senarai pengundi.

Sejak 15 Dis, semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas secara automatik dimasukkan ke dalam senarai pengundi sebagai sebahagian daripada perundangan yang lebih dikenali sebagai "Undi18" yang diluluskan pada 2019.

Wan Junaidi menjelaskan, ia telah mengambil masa sehingga 10 Mac untuk mendapatkan maklum balas daripada Majlis Raja-Raja sebelum rang undang-undang mengenai Perkara 119 dapat dibentangkan di Dewan Rakyat pada 21 Mac.

Langkah seterusnya, kata Wan Junaidi, ialah rang undang-undang itu mendapat perkenan diraja dan bertukar menjadi undang-undang.

“Senarai lengkap pengecualian setiap negeri akan dibawa melalui suatu perintah yang akan diwartakan kemudian selepas mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS