Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi sekadar batu api nak lagakan Najib, Muhyiddin - Sharkar

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Mohd Sharkar Shamsudin, menyifatkan Rafizi Ramli sebagai 'batu api' apabila mengeluarkan komen mendakwa Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, lebih popular berbanding bekas Najib Razak.

Mohd Sharkar turut menyifatkan pandangan bekas ahli Parlimen Pandan itu sebagai sebahagian daripada strategi PKR untuk melaga-lagakan Najib dan Muhyiddin.

"Rafizi ni batu api, pertama sekali dia nak Datuk Seri Najib dan Muhyiddin bergaduh, itu biasalah, strategi dia.

"Komen ni komen orang politik, ada sebabnya, dia nak mengapi-apikan atau diaorang nak laga-lagakan, itu hak dia lah, dia nak komen apa, tapi sebenarnya dia cuma nak pergeseran itu bertambah lagi hebat, lagi meriah," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran pendaftaran ahli Umno di Kuantan, hari ini.

Majlis dirasmikan Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail.

Mohd Sharkar yang juga Pengerusi Biro Pendaftaran dan Keahlian Umno Pahang berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan dibuat Rafizi ketika melancarkan kempen Ayuh Malaysia di ibu negara pada 27 Mac lalu.

Rafizi dilaporkan berkata, populariti Najib banyak dipengaruhi kempen 'Bossku' dan penguasaan di media sosial, namun ia masih gagal mengatasi populariti Muhyiddin.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan Umno akan menggunakan aura 'Bossku' dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang selepas kejayaan dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor, Wan Rosdy berkata kejayaan diperoleh adalah hasil kerjasama semua pihak.

"Ini adalah kejayaan bersama. Seperti mana saya katakan tadi, untuk kita memenangi sesuatu peperangan - kita analogikan sebagai peperangan - tidak mungkin ada 'one man show', cuma 'pemberat' itu lebih sikitlah.

"Macam Datuk (Seri) Najib, Datuk Hasni sendiri (PRN Johor), kemudian Datuk Dr Sulaiman (PRN Melaka), semuanya memainkan peranan masing-masing, ia adalah kerja satu pasukan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS