Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Baru-baru ini kita terbaca bagaimana seorang perdana menteri mengumumkan yang dia ingin menggunakan bahasa Melayu dalam persidangan antarabangsa dan majlis rasmi.

Tentu sekali rakyat Malaysia berasa bangga dan terharu kerana akhirnya kita mendapat suntikan semangat daripada seorang perdana menteri di dalam hal yang teramat penting ini.

Sudah terlalu lama, rasanya, bahasa Melayu dipinggirkan dengan serius di negara ini. Kita dapat lihat bagaimana pada papan-papan iklan dan kain rentang pelbagai bahasa dengan bahasa Melayu paling tersudut atau amat tidak wajar kedudukannya.

Itu belum lagi di majlis-majlis rasmi, pejabat, mahkamah bahkan di Dewan Rakyat. Terlalu ramai pegawai yang nampaknya sangat selesa berbahasa selain bahasa Melayu, atau lebih kerap mencampur-adukkan bahasa.

Pada ketika tertentu ada juga tokoh yang kelihatan dengan jelas menggagahkan diri untuk berbahasa Inggeris walaupun ketara benar dia bergelut untuk kelihatan pandai.

Ini mungkin antara contoh paling sadis sebuah jabatan kerajaan yang langsung tidak memandang bahasa Melayu. Jika anda membuat carian ke laman sesawang ini untuk melihat panduan bagaimana pekerja boleh melaporkan salah laku majikan di negara ini, anda hanya dapat membaca versi bahasa Inggeris sahaja.

Setakat carian dibuat hari ini tiada versi bahasa Melayu tersedia.

Apakah tujuan kerajaan menggunakan hanya satu bahasa untuk perkhidmatan yang diperlukan itu ketika bahasa rasmi negara ialah bahasa Melayu?

Ini hanya satu daripada sekian banyak contoh untuk menunjukkan betapa bangsat dan hinanya nasib bahasa Melayu di negara ini. Lebih malang lagi ia dilakukan oleh sebuah lembaga yang bernama kerajaan.

Apakah tugas sebuah kerajaan selain menjaga dan melaksanakan dasar negara?

Kalau kita pergi meneroka lebih jauh ke syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta, pasti sedih kita akan menjadi lebih parah. Inilah realiti sebenar bahasa Melayu di negara ini: merempat ketika keberadaannya dilindungi perlembagaan.

Busuknya dari kepala

Yang memijak-mijak kedaulatan bahasa Melayu tentu sekali bukan warga Portugis atau Zimbabwe, malahan ada seorang warga Rusia, Dr Victor Porgadaev, giat berkarya dalam bahasa Melayu dan menterjemah karya sastera Rusia ke bahasa Melayu!

Siapakah yang menjatuhkan bahasa ini kalau bukan warga Malaysia sendiri? Mereka sering berasa kurang dihormati jika berbahasa Melayu. Ada juga yang rasa mereka kelihatan tidak terpelajar berbanding orang lain jika hanya berkomunikasi (bertutur dan menulis) dalam bahasa Melayu.

Para pejuang bahasa janganlah berpesta lagi. Sekarang masih terlalu awal untuk mengukur apakah kali ini pemerintah akan benar-benar mengembalikan kedudukan bahasa Melayu ke tempatnya yang sebenar, ataupun hanya ulangan putaran retorik untuk memancing sokongan menjelang pilihan raya umum akan datang.

Kita hanya boleh menilai hasil pengumuman Ismail Sabri Yaakob itu setelah kuasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) benar-benar dihormati (dan ditakuti) oleh semua pihak termasuk syarikat swasta, badan korporat, GLC dan seumpama dengannya.

Seperti kata bijak pandai terdahulu, ikan membusuk bermula dari kepala. Begitulah juga kejatuhan kedaulatan bahasa Melayu ini adalah kerana tiadanya kepimpinan melalui teladan pada masa kini dan masa lalu.

Semoga bahasa Melayu benar-benar dikembalikan kedaulatannya oleh pemerintah, bukan hanya dijadikan gula-gula menjelang pilihan raya. Saya sudahi omelan ini dengan pantun di bawah:

Ke Gunung Helang bersama teman,
Mencari kayu bahan setanggi;
Tetap gemilang zaman berzaman,
Bahasa Melayu Bahasa tinggi.

Mencari kayu bahan setanggi,
Dapat sehimpun lepas dituai;
Bahasa Melayu bahasa tinggi,
Majlis apapun pasti sesuai.

Dapat sehimpun lepas dituai,
Dibawa budak pulang ke rumah;
Majlis apapun pasti sesuai,
Kenapa tidak dalam mahkamah.

Dibawa budak pulang ke rumah,
Lepas keratkan jemur di simen;
Kenapa tidak dalam mahkamah,
Wajib amalkan dalam parlimen.

Lepas keratkan jemur di simen,
Harum setanggi luar biasa;
Wajib amalkan dalam parlimen,
Janganlah lagi campur bahasa.


SANUSI DIN atau nama penanya Ibnu Din Assingkiri ialah penulis kreatif separuh masa yang mencintai alam sekitar sepenuh masa, serta berminat mengambil tahu tentang hal-hal politik semasa. Dia ialah graduan Pengajian Bahasa Inggeris yang berkarya dalam bahasa Melayu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS