Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'KPWKM perlu soal polis jika tolak laporan mangsa keganasan rumah tangga'

Keganasan rumah tangga satu jenayah dan bukan sekadar masalah dalaman keluarga yang perlu diabaikan oleh pihak berkuasa apabila mangsa melaporkannya, kata Persatuan Peguam Wanita (AWL).

Ahli jawatankuasanya Meera Samanther berkata, sebaliknya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu mempersoalkan tindakan pihak polis jika ada yang enggan menerima laporan mangsa keganasan rumah tangga.

“Apa yang perlu dilakukan oleh KPWKM adalah mereka perlu mempersoalkan kepada polis.

“Ketua polis negara perlu jawab berhubung perkara ini apabila anggota polis tidak menerima laporan yang dibuat. Mereka patut dipanggil.

“Ia (keganasan rumahtangga) merupakan satu jenayah dan bukannya isu keluarga (semata-mata).

“Kita perlu mengambil isu keganasan rumahtangga secara serius. Kita tidak boleh memindahkan beban tersebut kepada mangsa,” katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun yang mendakwa sesetengah anggota polis enggan menerima laporan mangsa keganasan rumah tangga dengan alasan ia isu keluarga.

Rina kemudian menasihatkan mangsa untuk segera ke hospital dan mendapatkan laporan perubatan.

Mengulas lanjut, Meera berkata melaporkan keganasan rumah tangga kepada pihak polis merupakan satu-satunya pilihan untuk mangsa dan mereka tidak perlu menyediakan laporan perubatan untuk berbuat demikian.

“Tapi jika anda memilikinya (laporan perubatan), ia boleh juga.

“Tetapi laporan perubatan tidak semestinya perlu ada untuk buat laporan polis untuk keganasan rumah tangga,” katanya dengan memberitahu bahawa keganasan rumah tangga tidak semestinya terjadi dengan bentuk kecederaan fizikal.

Menurutnya, di bawah Seksyen 107(4) Kanun Prosedur Jenayah, seorang anggota polis bertanggungjawab untuk menerima sebarang maklumat berkaitan apa-apa jenayah yang dilakukan di mana-mana tempat di Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS