Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS ajak semua bersatu 'pertahan akidah' anak Loh
Diterbitkan:  Mar 29, 2022 12:53 PM
Dikemaskini: 4:53 AM

PAS hari ini berkata, tidak boleh ada mana-mana pihak cuba atau bercadang menukar agama tiga anak Loh Siew Hong yang sebelum ini diislamkan bapa mereka.

Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khirudin berkata pada masa sama semua umat Islam di negara ini perlu bersatu mempertahankan keselamatan akidah kanak-kanak terbabit.

"Keislaman mereka adalah atas dasar kefahaman, kesedaran dan kerelaan sebagai manusia yang merdeka hasil daripada pengajian serta pendidikan yang mereka lalui.

"Justeru, PAS pada ingin memberikan amaran tegas bahawa jangan ada mana-mana pihak yang ingin atau berhasrat menukar agama anak-anak ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini mahkamah mengarahkan ketiga-tiga kanak-kanak terbabit diserahkan kembali kepada Loh sebagai ibu kandung mereka. Ia kemudian mencetuskan polemik mengenai pengislaman kanak-kanak terbabit, khususnya apabila penukaran agama dibuat secara sepihak oleh bapa mereka.

Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan, Che Ibrahim Mohamed, kemudian menggesa pihak berkuasa serta kumpulan yang berkaitan segera membuat semakan kehakiman atas keputusan tersebut.

Katanya langkah itu perlu diambil sekarang supaya kerajaan - dengan kuasa yang ada padanya - boleh mengubah keputusan Mahkamah Persekutuan yang mensyaratkan persetujuan ibu dan bapa diperlukan bagi menentukan status agama seseorang individu di bawah umur.

"Keputusan ini hendaklah dibatalkan dan tidak terpakai kepada orang Islam kerana bercanggah dengan Islam," katanya.

Dua isu berbeza

Pada 23 Feb lalu Dewan Ulama PAS Pusat pula mendesak kerajaan meminda perlembagaan bagi memberi kuasa kepada mahkamah syariah melakukan semakan kehakiman berhubung kes berkaitan umat Islam khususnya pertukaran agama bagi mengelakkan sebarang konflik.

Untuk rekod PAS adalah sebahagian daripada kerajaan sekarang.

Dalam kenyataannya hari ini Khairil Nizam juga berkata keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyerahkan tiga kanak-kanak terbabit kepada Loh hanyalah melibatkan isu penjagaan dan tidak menyentuh aspek agama.

Untuk rekod pada 22 Feb lalu seorang peguam menjelaskan isu hak jagaan tiga anak Loh berbeza dengan isu agama anak-anak berkenaan.

Aidil Khalid yang bertindak sebagai peguam kepada salah seorang responden dalam permohonan habeas corpus Loh berkata isu agama anak-anak dengan hak jagaan adalah dua isu berasingan dan tidak boleh dicampur-adukkan.

“Hanya sebab hak jagaan diberi kepada ibu, bukan bermaksud anak-anaknya harus automatik murtad.

"Bahkan dalam fatwa di Perlis pun sememangnya membenarkan ibu bukan Muslim diberi hak jagaan terhadap anak-anak Muslim,” katanya.

Aidil juga berkata kini menjadi tanggungjawab majlis agama Islam negeri mendapatkan akses untuk memberikan panduan serta pendidikan agama kepada kanak-kanak terbabit selagi mereka masih menginginkan berada dalam Islam.

“Syahadah anak-anaknya itu sah, mereka masih Islam, justeru tak boleh dibiarkan terkontang-kanting tanpa panduan dan tanggungjawab daripada majlis agama Islam. Ini yang utama," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS