Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Permohonan Malaysiakini semak semula sabitan kes menghina ditolak

Malaysiakini hari ini gagal dalam dalam permohonannya untuk membatalkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mendapati organisasi berita ini bersalah menghina mahkamah berhubung komen lima pembaca.

Tujuh panel hakim mahkamah persekutuan yang dipengerusikan oleh Zaleha Yusof sebulat suara menolak permohonan portal berita itu untuk mendapatkan semakan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 19 Feb tahun lalu.

Hakim-hakim lain yang bersidang sama adalah Zabariah Mohd Yusof, Hasnah Mohammed Hashim, Mary Lim Thiam Suan, Harmindar Singh Dhaliwal, Rhodzariah Bujang, dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Memandang perkara yang dibangkitkan membabitkan kepentingan awam, panel hari ni tidak membuat sebarang arahan untuk kos.

Pada 19 Feb tahun lalu, Makamah Persekutuan dengan majoriti 6-1 yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Rohana Yusuf, mendapati Malaysiakini bersalah kerana menghina mahkamah menerusi komen pembacanya.

Bagaimanapun, ketua pengarangnya, Steven Gan tidak didapati bersalah atas tuduhan menghina mahkamah.

Mahkamah tertinggi negara itu menjatuhkan denda RM500,000, jauh lebih tinggi daripada RM200,000 yang diminta oleh Jabatan Peguam Negara.

Melalui kempen kutipan dana, dalam masa sehari portal berita ini dapat mengumpulkan jumlah denda tersebut, malah berlebihan.

Mkini Dotcom Sdn Bhd membayar denda itu.

Semasa prosiding hari ini yang dijalankan dalam talian menersi zoom, Zaleha berkata bahawa inti pati penghujahan - dikemukakan oleh peguam Malaysiakini Malik Imtiaz Sarwar untuk semakan - pada asasnya portal berita ini didakwa dinafikan hak mendapat keadilan semula jadi.

Mengikut undang-undang, hak untuk keadilan semula jadi pada asasnya merujuk kepada hak asasi untuk mendapat perbicaraan yang adil.

Zaleha berkata panel hari ini tidak yakin dengan hujahan yang dikemukakan oleh peguam portal berita ini berhubung dakwaan melanggar keadilan semula jadi.

“Semua hujah di hadapan kami (oleh pasukan peguam Malaysiakini) telah pun dibangkitkan dan dipertimbangkan di hadapan panel (Mahkamah Persekutuan) yang mendengar permohonan menghina (tahun lepas).

“Dengan andaian bahawa kami semua bersetuju untuk seketika dengan pemohon peguam, kami dikekang oleh pertimbangan bidang kuasa kerana ini adalah semakan dan bukan rayuan.

“Kami dikekang untuk menolak ini (semakan permohonan). Memandangkan ini adalah perkara kepentingan awam, kami tidak membuat sebarang arahan mengenai kos,” kata Zaleha.

Malik dibantu peguam Surendra Ananth dan Khoo Suk Chyi.

Responden dalam perkara ini, iaitu Peguam Negara, diwakili peguam kanan persekutuan Suzana Atan dan K Saravanan.

Pada 17 Jun 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan kebenaran ex-parte Jabatan Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap Mkini Dotcom yang mengendalikan portal berita Malaysiakini serta Ketua Pengarang Malaysiakini Steven Gan berhubung komen lima pembaca mengenai satu artikel yang disiarkan oleh Malaysiakini pada 9 Jun, bertajuk “CJ orders all courts to be fully operational from July 1” yang disifatkan sebagai menyinggung perasaan.

Dalam permohonan semakan yang difailkan oleh Mkini Dotcom, syarikat itu memohon mengetepikan keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini dan meminta pendengaran semula prosiding menghina itu.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS