Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
GLC perlu bayar dividen paling kurang RM1 juta kepada Sabah - Hajiji
Diterbitkan:  Mar 28, 2022 5:59 PM
Dikemaskini: 9:59 AM

Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Sabah perlu membayar dividen sekurang-kurangnya RM1 juta setiap tahun kepada kerajaan negeri itu mulai tahun ini, menurut Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata langkah sedemikian akan membantu meningkatkan tabung negeri dan membawa lebih banyak pembangunan kepada rakyat.

“Kerajaan negeri tidak akan bergantung semata-mata kepada GLC untuk mengisi tabung negeri. Kami memerlukan kedatangan pelabur.

“Apabila pelabur masuk dan membawa wang untuk menjalankan projek mereka, ini akan mencipta impak (positif) yang serta-merta kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hajiji berkata antara perkara yang digariskan dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) atau rangka tindakan pembangunan Sabah adalah untuk mewujudkan dasar mesra pelabur.

“Dalam tempoh satu setengah tahun sejak pelancaran SMJ, kita telah menarik lebih 10 syarikat untuk datang melabur di Sabah,” katanya.

Beliau berkata, melalui SMJ, Sabah telah mencapai kemajuan yang besar dalam membina ekonominya, dan ini dibuktikan apabila negeri itu mencatatkan perolehan sebanyak RM5.44 bilion tahun lepas, sekali gus yang terbesar dalam sejarahnya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS