Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penggunaan bahasa Melayu tak jejas kredibiliti Malaysia, kata veteran Umno
Diterbitkan:  Mar 28, 2022 12:56 PM
Dikemaskini: 11:09 AM

Veteran Umno menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kedua Asean sesuai dengan penggunaannya oleh lebih 300 juta penutur di rantau ini.

Setiausaha Veteran Umno, Mustapha Yaakub, berkata banyak negara dunia seperti Jepun, China, Arab, Korea, Vietnam, Kemboja, Perancis telah berjaya meskipun menggunakan bahasa kebangsaan mereka.

"Sesungguhnya langkah itu amat wajar memandangkan bahasa Melayu diguna dan dituturkan oleh lebih 300 juta umat di rantau ini.

"Pengumuman perdana menteri itu amat ditunggu-tunggu oleh pendokong dan pejuang bahasa Melayu di negara ini. Langkah meminda akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga sebagai usaha memperkuatkan lagi peranan DBP dalam pelaksanaan penguatkuasaan akta itu bagi mencapai maksud yang diumumkan perdana menteri.

"Ia wajar kerana sebelum bahasa Melayu diguna di peringkat antarabangsa maka penggunaan bahasa Melayu di dalam negara mesti terlebih dahulu diperkemaskan.

"Penggunaan bahasa rojak yang diamalkan sekarang hendaklah dihentikan. Nama-nama syarikat, projek dan segala urusan yang berkaitan dengan perniagaan dan komersial mesti di bahasa Melayukan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semasa penggulungan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 pada 19 Mac lalu perdana menteri mengumumkan beberapa langkah bagi memartabatkan bahasa Melayu.

Ia termasuk langkah kerajaan kerajaan mewajibkan pelajar asing yang menuntut di negara ini untuk mengambil subjek bahasa Melayu sebagai salah satu mata pelajaran mereka.

Selain itu, kerajaan juga akan meminda Akta DBP 1959 bagi membolehkan pihak DBP mengambil tindakan terhadap mana-mana pelanggaran Bahasa Melayu termasuk di peringkat daerah.

Dalam pada itu Mustapha berkata penggunaan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa tidak akan menjelaskan kredibiliti Malaysia.

"Penggunaan bahasa Melayu ini tidak akan menjejaskan kredibiliti Malaysia kerana dunia tahu diplomat kita mampu bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik.

"Wisma Putra juga mampu menyediakan jurubahasa yang mahir sebagai penterjemah yang berkelayakan dan profesional

"Lihat saja ketua-ketua negara Jepun, China, Arab, Korea, Vietnam, Kemboja, Peranchis, negara- negara Balkan dan banyak lagi yang dengan bangganya mengguna bahasa ibunda mereka walaupun mereka fasih berbahasa Inggeris," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS