Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemilihan PKR: Parti ada pelan A, B, C jika PRU awal - Saifuddin

PKR yang menetapkan pemilihan parti pada Mei ini mempunyai rancangan lain sekiranya parlimen dibubarkan lebih awal dan seterusnya mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU).

Setiausaha Agung Saifuddin Nasution berkata bahawa partinya akan membuat ketetapan baru berhubung pemilihan PKR.

"Parti ketika buat keputusan untuk mengadakan pemilihan pada Mei mengambil kira semua (perkara) termasuk pembubaran awal parlimen.

"Ketika, membuat ketetapan mengadakan pemilihan pada Mei, kita sudah ada pelan A, B dan C, bila keadaan itu berlaku kita akan tukar.

"Jika, PRU diadakan tempoh terdekat parti akan balik kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti dan buat ketetapan baru, sama ada meneruskan pemilihan atau tangguh, sebab parti ada tempoh (sampai) Mei tahun depan," katanya di sidang media selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Cabang PKR Lembah Pantai, hari ini.

Dia berkata demikian ketika diminta apakah langkah PKR sekiranya pembubaran parlimen dibuat lebih awal.

Ini selepas tekanan beberapa pemimpin Umno mendesak Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk mengadakan PRU lebih awal.

Saifuddin sebelum ini menegaskan parti itu tidak boleh menangguhkan pemilihannya sehingga selepas pilihan raya umum akan datang kerana Presiden PKR Anwar Ibrahim memerlukan seorang timbalan.

Saifuddin berkata PKR kini tidak mempunyai timbalan presiden manakala hanya tiga daripada tujuh naib presiden yang aktif pada masa ini.

Untuk rekod, pada kongres PKR tahu lepas, parti itu bersetuju untuk menangguhkan pemilihan selama 18 bulan.

"Keputusan untuk adakan pemilihan parti pada Mei adalah setelah parti menggunakan klausa penangguhan 18 bulan yang akan tamat Mei tahun depan. Penggal tiga tahun tamat Nov tahun lepas," katanya.

"Tempoh 18 bulan berakhir Mei 2023, tapi perlembagaan parti tak kata dalam tempoh itu pemilihan tak boleh buat.

"Jadi bila kita nak buat, MPP setuju pemilihan diadakan pada Mei, sudah tentu perkara kami perhalusi adakah tempoh ini akan berlaku PRU," katanya.

Kerajaan Ismail mempunyai tempoh sehingga Jun 2023 untuk membubarkan parlimen sebelum mengadakan PRU15.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS